HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2016

Istana sah panggil semua 21 Adun Kedah menghadap, bakal umum MB baharu esok



Istana Kedah disahkan sudah memanggil semua Adun BN untuk bertemu esok di Wisma Darul Aman, Alor Star. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Januari, 2016.Istana Kedah disahkan sudah memanggil semua Adun BN untuk bertemu esok di Wisma Darul Aman, Alor Star. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Istana Kedah disahkan sudah memanggil semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) untuk bertemu esok di Wisma Darul Aman, Alor Star. Jemputan sudah dihantar kepada semua wakil rakyat BN Kedah, menurut Adun Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin.

"Ya, saya sudah menerima jemputan dan akan hadir ke wisma esok," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider bagi mengesahkan perkara tersebut.

Pada masa sama, pihak istana juga dijangka akan memutuskan esok nama menteri besar baharu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kini hilang sokongan. 
 

Akhbar bahasa Inggeris itu melaporkan, jemaah itu akan menemui semua 21 wakil rakyat, termasuk Mukhriz, secara berasingan.

Semua Adun akan menghadap 3 ahli jemaah berkenaan, yang terdiri daripada Pengerusinya Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Menurut Ahmad Lebai, pertemuan itu akan dijalankan secara berasingan di mana setiap seorang Adun akan menghadap secara tertutup.

"Setiap orang Adun akan menghadap jemaah secara tertutup," katanya.

Pihak media juga menerima jemputan ke wisma tersebut untuk sidang media selepas pertemuan mereka itu esok.

Menurut sumber dalaman Umno Kedah, esok akan menjadi hari penentu sama ada menteri besar baharu akan dilantik atau sebaliknya.

"Mungkin esok selesai isu nama baharu menteri besar Kedah," katanya.

Kemelut politik Kedah sudah berlarutan lebih seminggu selepas sidang media diadakan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah pada 20 Januari lalu.

Bagaimanapun, sehingga hari ini Najib masih belum mengumumkan nama baharu menteri besar walaupun sudah menghadap Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, dipercayai bagi membincangkan calon pengganti Mukhriz.


Tiada ulasan: