Halaman

Khamis, 18 Februari 2016

16 kotak hadiah tradisi Kazakhstan, kata menantu Najib

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI
 
Menantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Daniyar Kessikbayev - hari ini menjelaskan bahawa hadiah "mewah" pada majlis pertunangannya pada tahun 2011 adalah sebahagian daripada budaya dan tradisi Kazakhstan.

Kenyataannya itu dibuat susulan bidasan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa terdapat ‘16 tong’ hadiah pada majlis pertunangan yang dihadirinya.

“Saya ingin jelaskan bahawa hadiah berkenaan adalah daripada saya sebagai mahar kepada Nooryana yang diberikan dalam 16 kotak bukannya 16 tong.

“Sebagai bakal suami pada masa itu, pemberian berkenaan adalah sebahagian daripada tradisi masyarakat Kazakhtan untuk bakal isteri termasuk barang kemas, minyak wangi dan sutera.

“Pemberian hadiah ini wajar untuk keluarga saya mengekalkan tradisi kami. Malah kami berbangga untuk berkongsi warisan Kazakhstan bersama keluarga baru di Malaysia,” Kessikbayev kepada portal berita Free Malaysia Today.

Kessikbayev, seorang warga Kazakh berkahwin dengan Nooryana Najwa Najib pada Mac 2015.

Majlis besar-besaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur - salah satu daripada tiga majlis yang diadakan di Malaysia - banyak dikritik, tetapi kemudiannya didedahkan bahawa keluarga pengantin lelaki membayar bil majlis berkenaan.

Kessikbayev berkata dengan penjelasan itu, beliau berharap Mahathir akan berhenti menggunakan upacara pertunangan atau perkahwinannya sebagai modal politik.

“Saya percaya Dr Mahathir sebagai seorang ahli politik yang bijak, seorang bapa dan suami pandai menilai apa yang salah dan apa yang betul untuk bercakap,” katanya lagi dipetik portal itu.

Menurut akhbar Kazakhstan - Ak Zhaik- adalah tradisi untuk pengantin lelaki membayar "kalym" atau "tebusan” kepada ibu bapa pengantin perempuan.

Sebelum ini, lelaki Kazakhstan akan menghadiahkan keluarga pengantin perempuan dengan 47 ekor lembu, tetapi kini ia digantikan "Korzun" (beg tradisional) dengan 47 "barangan berharga" di dalamnya, termasuk cincin, rantai dan duit syiling.

Begitu juga dengan tradisi masyarakat Melayu yang menetapkan bahawa pengantin lelaki memberikan dulang hantaran kepada pengantin perempuan, yang terdiri daripada barangan peribadi termasuk barang kemas dan kosmetik.

Pengantin perempuan Melayu kemudian akan mengembalikan dulang berkenaan kepada pengantin lelaki yang juga dipenuhi dengan barang-barang peribadi termasuk minyak wangi dan kasut.

Mahathir baru-baru ini mengkritik gaya hidup mewah Najib dengan mendakwa bahawa keluarga Najib menyediakan "6 tong" hadiah semasa pertunangan anaknya itu.

Malah, katanya, majlis perkahwinan diraja juga tidak semewah seperti majlis pertunangan yang beliau hadiri itu.

“Saya pi (pergi) dia punya majlis bertunang. Saya terkejut, 16 tong hadiah dua orang askar angkat. Ini tong bukan dulang.

“Ia bukan sikit..macam-macam ada dalam tu... jam ada, kasut ada, baju ada, kain ada... pasal lalu tepi saya,” kata Mahathir yang sedang berusaha keras menggulingkan Najib daripada jawatannya.

Beliau berkata demikian dalam video yang dikeluarkan di blog.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.