Halaman

Khamis, 18 Februari 2016

‘Kamu akan terheret ke dalam kubur bersama Najib’

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI
 
Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin memberi amaran bahawa mereka yang bersubahat, bersekongkol dan makan dedak akan diseret bersama Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi.

“Bagi yang berasa mereka berkuasa, kuat dan terlindung, ingatlah kuasa tidak akan kekal selama-lamanya.
“Bukan perdana menteri seorang saja akan dipertanggungjawabkan apabila ‘the chips are down’,” katanya dalam blog hari ini.

Kadir yang juga adalah bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press mengulas pelbagai skandal yang melanda Najib, termasuk ‘derma’ RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadinya.
Najib menafikan sebarang salah laku dan telah dibersihkan oleh Peguam Negara.

Kadir berkata pembangkang dengan mudah boleh duduk dan melihat Najib dan para pesekongkol dalam Umno-BN serta pentadbiran awam terus dengan skandal, kesilapan, pembohongan dan penafian menggali kubur mereka yang sedalam-dalamnya.

Namun, katanya, apa yang perhatikan adalah tidak seperti itu.

“Mereka mahu menyelamatkan Malaysia dan rakyat jelatanya sebelum terlambat.

“Mereka berpendapat menunggu sehingga pilihan raya umum (akan datang) mungkin terlalu lama dan Malaysia tidak dapat diselamatkan lagi selepas itu walaupun mereka menang,” katanya.

Kadir berkata, harapan terbaik bergantung kepada beberapa kerat wakil rakyat Umno dan BN yang masih ada harga diri, berhati kecil dan punyai rasa bersalah (conscience).

“Mereka tahu bahawa mereka tidak lagi mewakili rakyat jelata.

“Malah mereka tidak pun mewakili ahli Umno-BN lagi. Mereka hanya mewakili Najib dan kelompok eksklusif beliau,” katanya.

Kadir juga menggesa agar satu gerakan massa untuk yang merentasi sempadan politik, ideologi, agama, bangsa dan wilayah bagi menyelamatkan Malaysia yang dikhabarkan dipelopori oleh pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk mendapatkan undi tidak percaya terhadap Najib.

“Kita pun sudah tahu yang majoriti Raja-raja Melayu tidak lagi berdiam diri melihat kehidupan rakyat jelata semakin hari semakin terdesak dan imej negara menjadi bahan persendaan dunia.

“Yang kita perlukan sekarang adalah bagi setiap orang yang peduli dan sayangkan negara bangun secara aman dan sivil menyatakan bahawa perubahan wajib berlaku dan berlaku segera,” katanya.

Sehubungan itu, Kadir mengajak setiap rakyat yang berwajah, dikenali dan dihormati tanpa mengira usia dan jantina, kerjaya dan kepakaran, bangsa dan agama supaya wajib memberanikan diri berdiri dalam satu barisan penyelamatan negara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.