Halaman

Selasa, 16 Februari 2016

Dari jurutera kepada pencuci longkang

 
Sudah tiba masanya untuk graduan yang belajar tinggi-tinggi tetapi menganggur ubah haluan cita-cita kepada pekerjaan 3D kerana itu sahaja pilihan yang kita ada.
 
 
 
graduate_kerja-3D_600


Seperti yang diceritakan kepada saya…

“Sudah lama saya duduk rumah, kira-kira empat bulan. Ya, tempoh itu agak lama bagi seorang lelaki yang sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen. Sekarang saya mahu mencari kerja.

Rupanya selama empat bulan yang lepas, saya mencari kerja yang salah. Selaku seorang graduan Ijazah Lanjutan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik saya tersalah cari kerja. Saya cari kerja jurutera!

Selama ini ibu bapa saya sendiri pun tidak sedar. Setahu mereka, menghantar anak belajar ke luar negara, belajar tinggi-tinggi dengan kelulusan cemerlang, pulang ke tanah air agar dapat menjaga kedua-dua orang tua, bekerja selesa dengan gaji yang lumayan, itulah jangkaan seorang graduan yang cemerlang seperti saya, itu juga yang difikirkan oleh ibu bapa saya. Malangnya, saya dan mereka ternyata salah dan tersilap.

Sekarang, saya kena mencari kerja dan bersaing dengan lebih 6 juta warga asing untuk membuat kerja 3D, kerana itu sahaja pekerjaan yang melimpah-ruah di Malaysia.

Bukan lagi jurutera atau juruteknik, bukan lagi kerja pejabat atau profesional.

Untuk pengetahuan, saya, salah seorang daripada 26,000 orang atau mungkin lebih beberapa kali ganda orang yang diberhentikan kerja ekoran keadaan ekonomi pada masa kini. Sekarang saya masih menganggur dan mencari kerja, tetapi menteri dan pemimpin saya tiada solusi untuk rakyatnya.
Tetapi mereka lebih berminat mencabar saya buat kerja 3D.

Pemimpin ini enggan mengaku kegagalan mereka menangani masalah ekonomi negara sehingga para pelabur tutup bisnes dan keluar dari negara ini. Pemimpin enggan mencari jalan mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan rakyatnya yang semakin serius.

Tetapi mereka kata kami malas dan berkira.

Baik, saya akur sahaja. Dengan nasib saya yang masih tidak menentu, mulai detik ini, saya seorang graduan Ijazah Lanjutan Kejuruteraan, akan mengubah hala tuju cita-cita saya kepada seorang pencuci longkang, tak kiralah besar mana longkang itu, lagi Danger, lagi Dirty dan lagi Difficult bukan?

Saya mahu minta empati majikan yang menawarkan kerja kepada warga Bangladesh, mungkin pertimbangkan kerja tersebut kepada penganggur berkelayakan tinggi seperti saya. Mungkin juga saya kena bersaing dengan ‘bai’ dan ‘baiya’ untuk mendapatkan pekerjaan seperti itu. Kata menteri mereka lagi pandai buat kerja itu, mereka lagi rajin dan pro; menteri mungkin tak tahu jurutera seperti saya adalah antara orang yang mereka bentuk aliran longkang itu. Tak mengapalah, biar saya guna kepakaran yang saya ada ini untuk mencuci longkang.

Kepada lebih 200,000 graduan baharu yang masih menganggur, jom ikut saya buat kerja 3D, kerana itu sahaja dapat membuktikan kepada pemimpin bahawa belia tempatan juga sebagai sehebat warga Bangladesh yang diimport ke negara ini.

Satu lagi, memang saya pernah berkira dulu untuk buat kerja 3D, manakan tidak, dengar khabar gaji yang dibayar sekitar RM950 sahaja. Tetapi saya mahu gunakan peluang ini untuk minta menteri pertimbangkan gaji yang membolehkan survival saya, seorang lelaki berkeluarga dengan pelbagai komitmen.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.