HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Februari 2016

Ekonomi lembab dorong peningkatan jenayah, kata pakar




Ekonomi lembap, harga barang mahal dan hilang kerja boleh mendorong seseorang melakukan jenayah kerana rasa terdesak, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Februari, 2016.Ekonomi lembap, harga barang mahal dan hilang kerja boleh mendorong seseorang melakukan jenayah kerana rasa terdesak, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Kelembapan ekonomi tahun ini boleh menyebabkan peningkatan kadar jenayah memandangkan kehilangan kerja dalam keadaan inflasi tinggi boleh memaksa individu beralih ke arah perbuatan haram untuk mendapatkan wang. Kajian Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap kes jenayah sejak 10 tahun lalu menunjukkan trend ini.

Kesalahan feloni meningkat pada 2008 hingga 2009 ketika Malaysia turut terkena tempias krisis kewangan dunia.

Penganalisis jenayah dan pakar psikologi USM, Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata kelembapan ekonomi akan memberi kesan serius kepada kuasa membeli pengguna akibat kenaikan kos sara hidup. 
 
"Cabaran ekonomi memberi kesan serius kepada bajet kerajaan pusat dan negeri, termasuk kuasa membeli pengguna," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

"Apabila sumber yang ada mengecil, barangan awam dan perkhidmatan terjejas dari sudut dana dan kualiti, ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kualiti hidup," katanya.

Dalam satu kajian pada 2004-2014 yang dijalankan bersama 2 rakannya, Amin Bujang dan Mohammad Rahim Kamaluddin, mereka mendapati kadar jenayah tertinggi negara dicatat pada 2008-2009 semasa krisis kewangan global di mana Malaysia juga terjejas secara tidak langsung.

Pada ketika krisis tersebut, kadar pengangguran berada pada 3.7% dan peningkatan kadar jenayah mencatatkan paras tertinggi lebih 20,000 kes jenayah dicatatkan berbanding tahun lain.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye, berkata dengan kesempitan hidup dihadapi, akan ada mereka yang tidak bertanggungjawab sanggup melakukan apa saja untuk memenuhi kehidupan mereka.

"Dengan kelembapan ekonomi yang akan memberi kesan besar kepada populasi dan masyarakat,  sememangnya terdapat kemungkinan kadar jenayah meningkat.

"Ini kerana mereka yang berdepan kesempitan akan melakukan apa saja yang menyalahi undang-undang untuk mendapat apa diidamkan," kata Lee.

Kerajaan tidak dapat menolak tempias daripada kelembapan ekonomi yang melanda global,  malah sudah mengumumkan penyelarasan dalam Bajet 2016 di mana menyaksikan beberapa pemotongan peruntukan dan perbelanjaan dalam kerajaan sendiri bagi mengatasi ketidaktentuan.

Lee berkata langkah penyelarasan tersebut tidak dapat dielak, namun kerajaan masih perlu memastikan isu keselamatan awam sebagai keutamaan demi kesejahteraan rakyat keseluruhan.

"Walaupun kerajaan mengumumkan penyelarasan bajet, tapi sudah semestinya kita perlu melihat semula program berkaitan dengan keselamatan dan aktiviti supaya ia tidak teruk terjejas.

"Ia sangat penting bagi keselamatan dalam negara ini dijadikan keutamaan," katanya. Geshina dan Lee senada, menyifatkan penyelarasan untuk tujuan keselamatan dan penguatkuasaan tidak wajar dipotong memandangkan piak berkuasa memerlukan latihan secukupnya bagi menghadapi penjenayah zaman sekarang yang lebih licik.

"Ia bukan tindakan yang wajar untuk buat penyelarasan membabitkan keselamatan negara kerana sumber manusia untuk keselamatan dan penguatkuasaan memerlukan sokongan fiskal," kata Geshina.

Katanya, ketika berdepan tahun yang mencabar ini, pihak berkuasa dan orang awam perlu sentiasa berwaspada dan kerjasama antara kedua-dua pihak perlu dipertingkatkan bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

"Isu keselamatan adalah tanggungjawab semua pihak dan polis tidak boleh menjadi 'super' waspada 24 jam.

"Mereka juga manusia dan perlu berehat. Jangan disebabkan pegawai polis jiran kamu, ia tidak bermakna kamu boleh meletak tanggungjawab atas bahunya untuk menjaga keselamatan anda dan keluarga kamu.

“Banyak jenayah yang berlaku seperti kes ragut berpunca akibat kelalaian kamu sendiri. Jadi orang ramai perlu tahu dan melatih untuk menjaga keselamatan masing-masing," katanya.

Tahun lalu, kajian keselamatan yang dilakukan konsultan bebas iaitu Frost & Sullivan mendapati sebahagian besar atau 50% rakyat Malaysia masih beranggapan kadar jenayah di negara ini semakin meningkat, manakala 40% lagi menganggap ia tidak berubah, meskipun pelbagai langkah pencegahan jenayah dilakukan pihak berkuasa termasuk polis.

Frost & Sullivan dilantik kementerian untuk menjalankan kajian dan penyelidikan berhubung perkhidmatan yang diberikan pihak berkuasa dan keselamatan negara, pada 2013.

Kajian dan penyelidikan dibuat dalam 2 fasa. Fasa pertama siap pada penghujung 2013 manakala fasa seterusnya dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan.


Tiada ulasan: