Halaman

Ahad, 21 Februari 2016

'Hutang' Asri pada Zamihan belum lunas

Al-Abror Mohd Yusuf

   


Debat - atau dialog - antara Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Zamihan Mat Zin yang sepatutnya berlangsung pada 17 Februari lalu mungkin menjadi kenyataan jika penganjur tidak 'tersilap' membuat jemputan.

Langkah yang mungkin diambil Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ialah mengundang Zamihan atas kapasitinya sebagai Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah (Aswaja) dan bukan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ditemui di pejabat Aswaja di Bangi semalam Zamihan berkata disebabkan jemputan itu dibuat atas kedudukannya sebagai kakitangan awam, ada prosedur yang perlu dipatuhi.

"Kalau hantar surat (jemputan) debat atas nama KDN, saya kena lalui bos saya. Menteri dalam negeri, ketua setiausaha, timbalan ketua setiausaha, ketua jabatan. Kalau ada arahan baru boleh saya keluar (hadir).

"Tapi kalau surat jemputan debat itu (dibuat) atas platform Presiden Aswaja, tak ada prosedurlah. Mudahlah.

"Maknanya kita jalan (terus) sajalah sebab kita NGO (pertubuhan bukan kerajaan)," katanya.
Tak hadir kerana tugas

Bagaimanapun, kata bekas pegawai KDN berkenaan, pihak Shahidan mengeluarkan jemputan atas kapasitinya sebagai kakitangan awam.

Sebelum ini Shahidan dilaporkan cuba mengaturkan pertemuan Mohd Asri dengan Zamihan dalam satu perdebatan mengenai pemikiran ekstrem di negara ini.

Program itu kemudian dinasihat pihak berkuasa - termasuk Polis Diraja Malaysa - diadakan secara tertutup dan dalam format dialog.

Tarikh asal yang dicadangkan adalah pada 10 Februari dan ditunda kepada tujuh hari kemudian selepas Zamihan terpaksa bertugas di Penjara Machang.

Namun Zamihan tidak hadir di sesi berkenaan. Menafikan takut atau melarikan diri beliau menjelaskan ketidakhadirannya berlaku disebabkan beliau tidak dimaklumkan mengenai majlis itu.

Kata Zamihan acara itu diketahui melalui sebaran di media sosial dan Internet saja. Pada masa sama pihak atasan di KDN menasihatinya supaya tidak terbabit dalam program berkenaan.

Tuduhan jejas kredibiliti

Sehari sebelum majlis itu pula Zamihan diarah bertukas serta-merta dari tugasannya di KDN ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) - langkah yang dianggapnya mencurigakan serta tanpa penjelasan.

Selepas acara berkenaan Mohd Asri yang juga Mufti Perlis dilaporkan menghulur salam perdamaian kepada Zamihan.

Apakah reaksi Zamihan?

Mengenai pertukaran itu beliau berkata ia adalah proses biasa sebagai penjawat awam.
Malah ia bukanlah arahan perpindahan serta-merta pertama dilaluinya.

"Sudah tiga kali, bro...!" katanya.

Persamaan ketiga-tiga arahan perpindahan itu juga menarik iaitu apabila beliau mengeluarkan pendapat mengenai ancaman bahaya pemikiran ekstrem di negara ini yang berasakan ideologi salafi jihadi.

Sambil tersenyum Zamihan berkata beliau sedia menyambut salam perdamaian itu jika ia sekadar berkisar mengenai kemanusiaan harian.

"Dia (pihak Shahidan dan Mohd Asri) bagi salam, kita jawab. Dia ajak mengeteh, kita mengeteh tetapi fakta tetap mesti dijawab dengan fakta.

"Fakta (tuduhan) tak boleh disudahi dengan salam perdamaian," katanya.

Antara isu yang dinyatakan Zamihan mesti dijelaskan oleh Mohd Asri adalah tuduhan beliau menganut fahaman Syiah serta mengkafirkan orang Islam.

"Dia kata saya Syiah (tetapi) tak bawa bukti pun. Ini menjejaskan kredibiliti saya sebagai penjawat awam," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.