SHAH ALAM: PAS dinasihatkan agar berhati-hati dalam menangani kes Husam
Musa agar tidak mendatangkan kecurigaan kepada pucuk pimpinan parti
itu, kata Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd
Azizuddin Mohd Sani.
Malah ujarnya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga perlu
dilihat bebas dan tidak cuba untuk menentukan rentak siasatan
Jawatankuasa Disiplin PAS terhadap bekas naib presidennya itu.
Husam berdepan dengan siasatan jawatankuasa berkenaan selepas beberapa
kali dilaporkan bersikap lantang mengkritik PAS secara terbuka termasuk
isu pelaksanaan hudud di Kelantan, walaupun selepas ditegur pimpinan
parti itu.
"Dia (Hadi) tidak boleh mempengaruhi (keputusan jawatankuasa disiplin)
sebab jawatankuasa itu ada orang tertentu yang dilantik. Jadi apa yang
terbaik, ialah dia perlu respon kepada kritikan yang terus ada pada dia
atau kepimpinan dia, jadi dia perlu respon atas pelantikan itu.
"Jadi dia kena ada kes la, kalau kes itu melanggar perlembagaan parti,
baru boleh dibawa ke jawatankuasa disiplin tetapi kalau kritik sahaja
ianya tidak cukup untuk disabitkan kesalahan apa-apa. Jadi itu kena
jelaskan yang itu lah dahulu," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi
tadi.
Hadi sebelum ini tidak menolak Husam boleh dipecat selepas diberi amaran dan digantung keahliannya atas perbuatannya itu.
Bagaimanapun Hadi berkata terserah kepada jawatankuasa disiplin untuk
memanggil dan memutuskan apa-apa keputusan ke atas ADUN Salor itu.
Husam sebelum ini mengkritik Hadi dan mendedahkan kononnya Ahli
Parlimen Marang itu mahu membawa PAS mewujudkan kerajaan perpaduan
dengan Umno Barisan Nasional (BN).
Husam juga mendesak Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan meletakkan jawatannya
apabila usul untuk meminda Akta 355 belum berjaya dibahaskan di
Parlimen.
Mengulas lanjut perihal tindak tanduk Husam, Azizuddin berkata ia tidaklah keterlaluan.
"Kalau Husam melakukan atau melanggar peraturan dan perlembagaan parti,
memang ada hak untuk dibawa ke jawatankuasa disiplin dan dipecatlah
tetapi setakat ini saya rasa Husam hanya bersuara sahaja mengkritik.
"Jadi saya rasa sekadar mengkritik sahaja tidak cukup untuk dibawa ke
lembaga disiplin dan untuk dipecat, selalunya pecat mesti ada isu yang
agak konkritlah," katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
memberitahu Husam akan dirujuk ke jawatankuasa disiplin parti selepas
jawatankuasa kerja PAS Pusat mengkaji beberapa aduan yang dibuat
terhadapnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan