SHAH ALAM: Tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH) bersetuju memberi
laluan kepada PAS untuk turut sama bertanding di beberapa kerusi pada
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, yang dijangka diadakan April depan.
Keputusan itu adalah untuk memastikan pertandingan dua penjuru di
antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di 82 kerusi DUN pada
pilihan raya itu.
Bagaimanapun Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah
memberitahu jumlah kerusi serta kawasan DUN manakah yang akan
dikosongkan untuk PAS belum dimuktamadkan.
PAS sebelum ini dilaporkan mahu meletakkan calonnya di 11 kerusi DUN Sarawak pada pilihan raya kali ini.
"Kami berseida untuk membenarkan PAS bertanding di kerusi-kerusi
berkenaan. Kami hormati bahawa PAS pun akan meletakkan calon. Kita (PH)
boleh agak kerusi mana yang PAS nak bertanding dan kami sudah
pertimbangkan, dan kami serahkan kepada PH Sarawak untuk buat
perbincangan (dengan PAS).
"Kami ambil maklum bahawa PAS akan bertanding (di 11 kerusi) jadi
perbincangan perlu dibuat di Sarawak. Kesemua 82 kerusi di Sarawak perlu
ditandingi dan kami akan pertimbangkan kesemua kerusi berkenaan
memandangkan PAS juga akan bertanding," katanya pada sidang media
selepas selesai mempengerusikan mesyuarat PH, petang tadi.
Saifuddin bagaimanapun tidak ditemani sesiapa ketika sidang media itu
meskipun mesyuarat melibatkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN)
diwakili pemimpin kanan masing-masing.
PKR diwakili tiga naib presidennya, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Dr. Xavier Jayakumar.
Manakala DAP diwakili Ketua Publisitinya Tony Pua dan Naib Pengerusinya Teresa Kok.
Sementara PAN diwakili Naib Presidennya, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Pengarah Komunikasi PAN Khalid Samad.
Sebelum ini, PAS dan PAN saling berbalas kenyataan berhubung pendirian
parti masing-masing yang akan bertanding di kerusi tertentu pada PRN
Sarawak.
Begitu juga DAP dan PKR yang dilaporkan media turut berebut kerusi DUN
tertentu meskipun pimpinan tertinggi masing-masing berkata pembahagian
kerusi masih dalam perbincangan.
Namun Saifuddin berkata tiga parti komponen PH sedar mereka perlu
sepakat dan berusaha untuk mengelakkan berlakunya pertandingan tiga
penjuru yang mana hanya akan memecahkan undi dan mengurangkan potensi
untuk mereka menumbangkan BN dalam pilihan raya itu.
"Sebahagian daripada kerusi berkenaan telah dapat diselesaikan pada
hari ini. Prinsip yang dipegang ialah untuk mengelakkan mana parti dalam
PH bertanding sesama sendiri ini untuk membolehkan pertandingan itu
ialah satu lawan satu antara PH dan Barisan Nasional (BN), itu
pegangannya.
"Kami mempunyai sepenuhnya kepercayaan terhadap kepimpinan PH Sarawak
akan berjaya menyelesaikan pembahagian baki kerusi yang akan disambung,"
katanya lagi.
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satim bulan lalu mengumumkan
bahawa negeri berkenaan sudah bersedia untuk mengadakan PRN buat kali
ke-11.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan