SHAH ALAM: PAS Selangor meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin
Ali tidak menaikkan tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya
buat masa ini.
Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata rakyat kini terbeban dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.
"Biar kita rujuk dahulu kepada MB apa yang berlaku. Saya berharap
kerajaan negeri mengambil kira kesusahan rakyat pada hari ini, yang
rata-rata dihimpit dengan masalah ekonomi.
"Apa pun kita tunggu sidang DUN akan datang pada Mac depan supaya MB
dapat beri jawapan yang rasmi kepada rakyat," katanya ketika dihubungi
Antarapos, hari ini.
Khairuddin, yang juga ADUN Paya Jaras mengulas laporan media sebelum
ini bahawa Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd akan menghantar pelan
perniagaan tiga tahun kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor
(SPAN) pada bulan depan.
Pelan perniagaan itu bakal melibatkan cadangan kenaikan tarif baru air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ia akan mengambil kira kos biaya operasi dan pengurusan air di tiga kawasan tersebut.
Cadangan kenaikan itu bagaimanapun tidak disenangi oleh wakil rakyat
Umno-Barisan Nasional (BN) yang mahu Azmin berpegang kepada janjinya
pada sidang DUN lalu untuk tidak menaikkan tarif air.
ADUN Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik berkata rakyat akan
menilai keikhlasan kerajaan dalam menetapkan sesuatu dasar sekiranya
cadangan kenaikan itu dipersetujui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan