Shakira Buang
LIHAT VIDEO DI SINI
Majikan di Malaysia kini dilihat lebih cenderung menggaji pekerja
daripada kaum Cina berbanding Melayu, khususnya dalam bidang
kejuruteraan dan perakaunan, demikian menurut hasil penyelidikan
pensyarah kanan Universiti Malaya.
Pensyarah kanan dalam kajian
pembangunan, Lee Hwok Aun berkata dalam hasil penyelidikan beliau dan
seorang rakannya, mendapati peluang untuk graduan baru daripada kaum
Cina lebih besar untuk dipanggil temuduga berdasarkan resume mereka.
“Penyelidikan
kami menunjukkan majikan secara umumnya lebih cenderung kepada kaum
Cina, di mana sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor keserasian dan
kualiti tidak boleh dilihat yang tidak didedahkan dalam permohonan
pekerjaan.
“Lebih selektif ke arah kaum Melayu sekali gus
menyebabkan mereka kurang dipanggil, akan tetapi pemohon berkelayakan
mendapat panggilan balas,” kata Lee ketika membentangkan kertas kerjanya
di Universiti Of Nottingham, Semenyih hari ini.
Menurut Lee,
hasil kajian tersebut diperolehi selepas beliau bersama seorang lagi
penyelidik menjalankan satu eksperimen dengan menghantar resume graduan baru Melayu dan Cina kepada iklan pekerjaan sebenar.
“Melalui
hasil penyelidikan itu didapati walaupun kedua-dua graduan Melayu dan
Cina menyenaraikan penguasaan bahasa Cina dan menyatakan mereka lulus
dari universiti tertentu yang mungkin meningkatkan peluang mereka untuk
dipanggil temuduga, namun majikan terutamanya syarikat yang dikuasai
oleh orang Cina lebih cenderung memilih pemohon Cina,” kata Lee.
Justeru, Lee berpendapat bahawa diskriminasi kaum lebih tajam dalam sektor kejuruteraan daripada perakaunan.
Bagaimanapun,
Lee berkata data tersebut tidak menunjukkan secara langsung motif
diskriminasi kaum dalam proses pengambilan pekerja berdasarkan
eksperimen yang dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.