Halaman

Khamis, 18 Februari 2016

Pemuda MCA siap sedia hadapi p'raya S'wak

MALAYSIAKINI



Pemuda MCA sudah bersiap sedia menggerakkan jentera bagi membantu parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam memenangi pilihan raya negeri Sarawak.

Ketuanya, Senator Chong Sin Woon berkata pihaknya telah mengadakan pemukiman di Sarawak untuk berjumpa dan berdialog bersama Pemuda parti komponen BN sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri itu.

"Kami akan menggerakkan jentera untuk membantu mana-mana calon parti komponen memenangi lebih banyak sokongan daripada rakyat negeri itu," katanya ketika berucap di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Pemuda MCA di ibunegara semalam.

Turut hadir bersama kira-kira 200 tetamu ialah Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Chong yang juga timbalan menteri pendidikan berkata Pemuda MCA turut melakukan persiapan menguatkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Malah beliau berkata pihaknya bersama pemimpin jawatankuasa pusat telah mula menyediakan senarai calon berpotensi untuk diketengahkan pada PRU14.

"Tahun 2016 merupakan tahun mencabar kerana kami harus bekerja keras untuk mengembalikan sokongan rakyat serta meneruskan perjuangan membantu rakyat," katanya.- Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.