Halaman

Khamis, 18 Februari 2016

Gaji rendah tetapi kos hidup tinggi buat belia fikir banyak kali sertai sektor 3D

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan perlu mengkaji tangga gaji bagi menarik minat rakyat tempatan bekerja di sektor yang dikategorikan sebagai bahaya, kotor dan sukar (3D), kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman.
 
Katanya, perkara itu perlu bagi melihat kos yang ditanggung rakyat tempatan seperti sewa rumah, makan dan minum serta lain-lain keperluan.
 
Selain itu, penglibatan dalam sektor 3D ini perlu mempunyai perlindungan insuran yang berbaloi dengan risiko yang perlu ditanggung.
 
"Kita kena lihat juga dari segi jaminan masa depan sebab kadang-kadang kita dapati bahawa bila kerja itu risikonya tinggi seperti risiko dengan penyakit, mudah mendapat kemalangan dan sebagainya. 
 
"Jadi pelindungan insuran atau faedah perubatan itu kadang-kadang tidak berbaloi menyebabkan orang fikir untuk menolak pekerjaan tersebut. 
 
"Semua ini perlu dilihat baru akan menarik minat dan mereka akan fikir berapa banyak duit yang boleh dibawa pulang dan adakah ia berbaloi dengan risiko yang ditanggung,"katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Dalam pada itu, Ma'amor juga melihat kadar pengangguran dalam kalangan pelajar lepasan universiti semakin meningkat setiap tahun kerana peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah rendah dan terhad. 
 
"Penghasilan tenaga kerja tidak selari dengan permintaan pasaran misalnya kita galakkan anak-anak muda masuk universiti dan sebagainya tetapi daripada segi pekerja kemahiran yang tidak perlu masuk ke universiti ini tidak ada sebab kita telah memberikan satu persepsi bahawa jika masuk berpelajaran tinggi kerja mesti ada. 
 
"Jadi bagi mereka bila sudah belajar tinggi mempunyai komitmen membayar hutang belajar adakah berbaloi sebagai contoh bekerja sebagai pengutip sampah mampu menanggung kos sara hidup mereka, sudah tentu mereka tidak mahu,"ujarnya.
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan kerajaan yang ingin membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia.
 
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar agar golongan belia menyertai sektor pekerjaan 3D bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
 
Cabaran itu diutarakan Zahid sebagai menjelaskan mengapa kerajaan perlu membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh ke negara ini yang mana disebabkan sikap memilih pekerjaan dikalangan belia itu sendiri.
 
Zahid berkata langkah itu perlu kerana tenaga kerja asing kini menguasai sektor membabitkan industri peladangan, perkilangan, pembinaan dan pembersihan.
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.