Halaman

Rabu, 17 Februari 2016

Rayu jika ada masalah: Nasihat Daroyah kepada Kerajaan Persekutuan

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad

 
Post Pic


SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan perlu memohon atau merayu kepada kerajaan negeri Selangor jika menghadapi masalah berkaitan kelulusan hartanah bagi membolehkan kerja-kerja pembangunan di negeri itu.

Exco Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata demikian mengulas pendedahan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bahawa pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Setia Alam tertangguh walaupun peruntukannya diluluskan tiga tahun lalu.
 
"Kalau ada masalah boleh mohon atau rayu kepada kerajaan negeri, tak ada masalah. Selagi untuk kemaslahatan rakyat kita terima. Memang satu keperluan juga balai bomba di kawasan tersebut, Kapar, Sementa tak ada balai bomba jadi ia memang penting untuk dibina.
 
"Itu bukan bawah Selangor, kena tanya bahagian bomba Persekutuan, kenapa mereka tak buat lagi walaupun peruntukan telah diagihkan, itu bawah Pusat bukan bawah negeri.  
 
"Kita (kerajaan negeri) bagi tapak tapi dari segi peruntukan dan juga pembinaan projek tu semua daripada Pusat," ujar beliau ketika dihubungi Antarapos. 
 
Bagaimanapun Daroyah tidak mengulas dakwaan Noh bahawa projek pembinaan itu tergendala akibat kerajaan negeri mengenakan premium tanah RM4 juta bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dilakukan.
 
Selain balai bomba, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang itu mendedahkan kerajaan negeri enggan memberikan kerjasama sehingga menyebabkan projek pembinaan pasar tani kekal di Puchong terbengkalai sejak tiga tahun lepas. 
 
Daroyah dalam pada itu mengakui Selangor menerima peruntukan sebanyak RM795.78 juta daripada kerajaan persekutuan untuk tujuan pembangunan negeri itu.
 
Daripada jumlah itu, sebanyak RM496.89 juta diperuntukan untuk Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris), jelasnya.
 
Tetapi beliau mengingatkan, pemberian peruntukan itu adalah tanggungjawab kerajaan Pusat terhadap semua kerajaan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang.
 
"Peruntukan Marris, memang kerajaan negeri ada terima peruntukan tersebut. Tapi kerajaan Pusat kena ingat bahawa negeri Selangor memberikan kepada Pusat KDNK sebanyak 23%. 
 
"Jadi memang sepatutnya Pusat memberikan peruntukan dan juga menjaga kebajikan negeri Selangor sama seperti negeri lain yang bukan Pakatan," katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.