Halaman

Selasa, 16 Februari 2016

SAMA SEPERTI ISTERI, ANAK PEMIMPIN JUGA HARUS BIJAK MEMBAWA DIRI

shahbudindotcom


 
 
 
Bagaikan satu trend kebelakangan ini di mana anak-anak pemimpin sering saja tampil bersuara mempertahankan bapa mereka yang dikritik ramai atas sesuatu isu.

Ketika isu pertukaran Menteri Besar Kedah baru-baru ini, anak Ahmad Bashah dan anak Mukhriz Mahathir, masing-masing tampil bersuara mempertahankan serta memuji bapa sendiri.

Walaupun ada yang memuji, hakikatnya lebih ramai yang tidak berkenan di hati, malah tidak kurang yang mengeji.

Kali ini dan sebenarnya bukan kali pertama pun, anak Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah bersuara lagi. Beliau mempertahankan bapanya berhubung rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau tidak saja menganggap isu pekerja Bangladesh itu sebagai isu kecil dan bersetuju dengan bapanya bahawa ramai yang memilih kerja, malah membalas kritikan Amran Fans, satu watak jelmaan dalam media sosial dengan membangkitkan soal hari pembalasan dan Padang Mahsyar.

Kenapa sampai Amran Fans yang tidak ketahuan asal usul pun mahu dilayan juga?

Mengapakah sejak akhir-akhir ini anak-anak pemimpin begitu galak bersuara mempertahankan bapa masing-masing sedangkan mereka tidak terlibat pun dalam kancah politik?

Apakah ini sesuatu yang sihat atau menambah rasa menyampah masyarakat?

Di mana pula para penyokong dan jentera maya yang sepatutnya lebih ke depan mempertahankan seseorang pemimpin itu?

Walaupun mungkin boleh difahami luahan rasa anak-anak itu kerana simpati dan ingin sama-sama mempertahankan ayah sendiri daripada pelbagai serangan, tetapi berdiam dirinya mereka adalah jauh lebih baik bagi karier sang bapa.

Dunia politik adalah pilihan bapa mereka dan biarlah hanya orang-orang berkaitan saja mengurus dan berdepan segala hal berkaitan dengannya secara terbuka.

Bukankah dengan berjawatan dalam kerajaan, bapa mereka mempunyai ramai pegawai, pencatur media, penyokong, pendokong, pembodek dan segala macam lainnya yang sanggup bekerja siang dan malam demi menjadi perisai kepada pemimpin yang disayangi?

Sebagai ahli keluarga, tugas anak, sama seperti isteri, ialah memberi sokongan moral dan kekuatan dalaman kepada bapa masing-masing untuk mengharungi cabaran karier politik yang dilalui, bukan turut sibuk di lapangan sambil menonjol-nonjolkan diri.

Tidak perlu dilihat sampai keterlaluan mahu mempamer diri untuk mempertahankan bapa sendiri dalam setiap isu yang timbul seolah-olah bapa mereka itu begitu sempurna sekali sifat kepimpinannya.

Duduk diam-diam, jaga keluarga serta karier dan jika ada kekayaan lebihan hasil pemberian bapa, lebih baiklah bergembira menikmati betapa indah dan seronoknya dunia ini.

Tidak dikenali sebagai anak menteri, apatah lagi jika dapat bertahan daripada dikenali ramai, dikerumuni dan dibanggai, ia sebenarnya jauh lebih terpuji dan memberi nilai yang tinggi kepada karier bapa untuk terus melonjak tengah-tengah masyarakat.

Kalau sayang karier bapa sendiri, sebaiknya sebagai anak, berpada-padalah membawa diri. 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.