HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Februari 2016

SAMM bantah negara hantar pasukan tentera sertai latihan di Arab Saudi

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengarah Pemikir Muda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Ahmad Anwar Asyraf mempersoalkan mengapa Malaysia terlibat dalam latihan peperangan North Thunder yang diketuai oleh Arab Saudi, seperti yang dilaporkan media antarabangsa.
 
Ujarnya tindakan ini menunjukkan Malaysia secara tiba-tiba mengubah dasar luar kepada menyokong tindakan militari.
 
"Ini agak kontradik dengan amalan Malaysia selama ini. Tentera kita sering terlibat dalam misi pengaman di zon konflik dunia. Sama ada melalui payung PBB mahupun OIC tetapi kali ini memilih untuk terlibat secara langsung dalam pakatan perang. 
 
"Melibatkan diri secara langsung dalam sesuatu perang adalah berbeda dengan menghantar pasukan pengaman," katanya dalam satu kenyataan media.
 
Semalam Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan Malaysia terlibat dalam kempen ketenteraan didokong Arab Saudi untuk menentang pemberontakan di Yemen, yang disokong Iran dan militan IS di rantau Asia Barat. 
 
Namun beliau  tidak menolak kemungkinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyertai latihan ketenteraan dari 20 buah negara dalam usaha Arab Saudi menjaga keamanan dan kestabilan di rantau itu. 
 
Selain itu, Ahmad mempertikaikan mengenai kos yang dibelanjakan negara dalam menghantar pasukan tentera tersebut ketika Malaysia mengalami masalah ekonomi.
 
Bagaimana pula dengan aspek perbelanjaan untuk menghantar dan menempatkan pasukan tentera kita di rantau Arab itu? Adakah ia dibiayai sendiri atau ditaja oleh Arab Saudi? 
 
Jika kita terpaksa mengeluarkan perbelanjaan maka, ia bukanlah satu keputusan yang bijak di saat negara sedang berada di dalam ketidaktentuan ekonomi," katanya.
 
Jelas SAMM, Malaysia perlu ingat bagaimana negara kita diserang dengan tentera pengganas Sulu pada tahun 2013. 
 
"Yang lebih dibimbangi adalah tindakbalas daripada kumpulan dan jaringan pengganas ini nanti atas keterlibatan Malaysia dalam Pakatan Perang Arab Saudi ini. 
 
"Imbas kembali bagaimana pintu sempadan negara begitu mudah ditembusi oleh pemberontak Sulu sehingga mencetuskan kekacauan dan mengkibatkan kehilangan nyawa anggota keselamatan. 
 
"Ia akan mendatangkan bahaya dan mudarat kepada keselamatan negara dan rakyat," kata kenyataan itu lagi.
 
Namun SAMM tidak melarang sekiranya penyertaan itu adalah untuk membanteras ancaman keganasan.
 
"SAMM bersetuju bahawa Malaysia perlu membuat beberapa tindakan bagi mengekang ancaman keganasan daripada berlaku di dalam negara ini, tetapi SAMM tidak dapat melihat kewajaran menyertai pakatan perang Arab Saudi ini," tegasnya. 


Tiada ulasan: