SHAH ALAM: Pengarah Pemikir Muda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Ahmad Anwar Asyraf mempersoalkan mengapa Malaysia terlibat dalam latihan
peperangan North Thunder yang diketuai oleh Arab Saudi, seperti yang
dilaporkan media antarabangsa.
Ujarnya tindakan ini menunjukkan Malaysia secara tiba-tiba mengubah dasar luar kepada menyokong tindakan militari.
"Ini agak kontradik dengan amalan Malaysia selama ini. Tentera kita
sering terlibat dalam misi pengaman di zon konflik dunia. Sama ada
melalui payung PBB mahupun OIC tetapi kali ini memilih untuk terlibat
secara langsung dalam pakatan perang.
"Melibatkan diri secara langsung dalam sesuatu perang adalah berbeda
dengan menghantar pasukan pengaman," katanya dalam satu kenyataan media.
Semalam Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan
Malaysia terlibat dalam kempen ketenteraan didokong Arab Saudi untuk
menentang pemberontakan di Yemen, yang disokong Iran dan militan IS di
rantau Asia Barat.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
akan menyertai latihan ketenteraan dari 20 buah negara dalam usaha Arab
Saudi menjaga keamanan dan kestabilan di rantau itu.
Selain itu, Ahmad mempertikaikan mengenai kos yang dibelanjakan negara
dalam menghantar pasukan tentera tersebut ketika Malaysia mengalami
masalah ekonomi.
Bagaimana pula dengan aspek perbelanjaan untuk menghantar dan
menempatkan pasukan tentera kita di rantau Arab itu? Adakah ia dibiayai
sendiri atau ditaja oleh Arab Saudi?
Jika kita terpaksa mengeluarkan perbelanjaan maka, ia bukanlah satu
keputusan yang bijak di saat negara sedang berada di dalam
ketidaktentuan ekonomi," katanya.
Jelas SAMM, Malaysia perlu ingat bagaimana negara kita diserang dengan tentera pengganas Sulu pada tahun 2013.
"Yang lebih dibimbangi adalah tindakbalas daripada kumpulan dan
jaringan pengganas ini nanti atas keterlibatan Malaysia dalam Pakatan
Perang Arab Saudi ini.
"Imbas kembali bagaimana pintu sempadan negara begitu mudah ditembusi
oleh pemberontak Sulu sehingga mencetuskan kekacauan dan mengkibatkan
kehilangan nyawa anggota keselamatan.
"Ia akan mendatangkan bahaya dan mudarat kepada keselamatan negara dan rakyat," kata kenyataan itu lagi.
Namun SAMM tidak melarang sekiranya penyertaan itu adalah untuk membanteras ancaman keganasan.
"SAMM bersetuju bahawa Malaysia perlu membuat beberapa tindakan bagi
mengekang ancaman keganasan daripada berlaku di dalam negara ini, tetapi
SAMM tidak dapat melihat kewajaran menyertai pakatan perang Arab Saudi
ini," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.