BERNAMA
Sektor itu kini
dimonopoli pekerja asing di negara ini kerana pendapatan yang diperoleh
pekerja sektor ini juga dikatakan kecil. Foto hiasan TRP
KUALA LUMPUR, Khuatir status sosial akan dipandang rendah oleh masyarakat menjadi faktor utama pekerja tempatan enggan bekerja di sektor 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar.
Sektor itu kini dimonopoli pekerja asing di negara ini kerana pendapatan yang diperoleh pekerja sektor ini juga dikatakan kecil.
Namun Pengarah Eksekutif Persekutuan
Majikan-majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berpendapat
jumlah gaji bukan faktor utama rakyat negara ini tidak mahu bekerja di
sektor pembinaan, perladangan, pertanian dan pembuatan.
“Punca utama rakyat terutama golongan
belia tidak berminat bekerja di sektor 3D adalah disebabkan mentaliti
masyarakat dan persepsi yang menganggap ia bukan pekerjaan yang
dihormati kerana tidak mempunyai status.
“Sebenarnya gaji di sektor perladangan
dan pertanian agak lumayan, contohnya pendapatan seorang pengait kelapa
sawit adalah RM2,500 sebulan dan pekerja mahir menyusun batu bata adalah
RM100 sehari,” katanya.
Shamsuddin
berkata ia berbeza dengan pekerjaan seperti pegawai kerajaan kerana
walaupun bergaji rendah, mereka lebih dipandang tinggi dan dihormati
berbanding bekerja di projek pembinaan atau ladang yang kotor.
Beliau berkata 85 hingga 90 peratus
daripada 400,000 tenaga kerja di sektor pembinaan terdiri daripada warga
asing, manakala di sektor perladangan dan pertanian, 80 peratus
daripada 700,000 pekerja adalah warga asing.
“Cuba lihat restoran mamak, tiada seorang pun pekerja tempatan di situ. Kalau adapun hanya di restoran makanan segera,” katanya.
Shamsuddin berkata bagi menangani masalah
itu, majikan perlu melabur dan beralih daripada cara konvensional
kepada penggunaan teknologi baru serta peralatan moden yang mampu
mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan ianya menjimatkan kos.
“Terdapat majikan yang tidak mahu melabur
atas alasan pekerja tidak mahir untuk mengendalikan peralatan moden
tetapi sebenarnya pekerja boleh dilatih bagi meningkatkan kemahiran dan
memperoleh sijil yang diiktiraf.
“Kerajaan dan majikan perlu duduk
berbincang mencari jalan penyelesaian untuk menarik pekerja tempatan dan
menjadikan mereka bangga dan megah dengan pekerjaan mereka,” katanya.
Sijil kemahiran yang diiktiraf juga
penting kerana boleh digunakan untuk bekerja di luar negara dan ianya
akan menjadikan pekerja tempatan lebih berdaya saing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.