HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Mac 2016

Kecundang SPM, STPM bukan penamat hidup

 
Hargai kejayaan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, tetapi ia tidak bermakna yang gagal dalam peperiksaan kali ini akan gagal selamanya.
 
 
 
SPM


Daripada 440,682 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2015, berapa peratus yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran?

Hanya 280 orang!

Baik, daripada 440,682 calon SPM itu, berapa ramai yang memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran?

Hanya 9,721 orang!

Bagaimana pula dengan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)?

Seramai 41,987 orang menduduki peperiksaan itu tahun lali, berapa ramai yang lulus penuh dalam lima dan empat pelajaran?

Hanya 3,712 orang !

Di sebalik menjungjung dan menyambut kejayaan mereka yang peroleh keputusan cemerlang, kita tidak sepatutnya lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik ini.

Ingat, mereka bukan bodoh, mereka cuma tidak mengambil berat isu pendidikan, mungkin juga malas sedikit atau mungkin kerana berbakat dalam bidang lain mereka tidak mengutamakan akademik.

Tujuan saya menulis artikel ini ialah untuk ‘memperjuang’ pelajar-pelajar yang gagal memperoleh keputusan cemerlang. Ini kerana saya tahu mereka akan dicemuh dan dipandang rendah oleh masyarakat yang sangat berpaksi kepada skor ‘A’.

Benar, bukan semua, tetapi ada sebilangan besar daripada ahli-ahli masyarakat ini yang langsung enggan memandang pelajar yang kecundang peperiksaan. Mereka dilayan kurang baik dan ada kalanya ahli keluarga sanggup tidak membantu mereka untuk bangkit semula. Bukan semualah, tetapi ada segelintir.

Tetapi mereka lupa, bila yang lulus peperiksaan dan cemerlang itu jadi doktor dan peguam, akauntan dan pengaudit, guru dan pensyarah, dan sebagainya, mana pergi pelajar yang tidak berjaya itu?

Mari sini, biar saya cerita sikit kisah-kisah benar pelajar gagal itu.

Selepas gagal dalam SPM, seorang kenalan saya memilih untuk menghadiri kursus bersolek, pendekkan cerita, kini dia seorang artis solek yang terkenal dengan pelanggannya termasuk artis-artis tanahair.
Sembang-sembang dengannya, dia cerita dia melabur kira-kira RM15,000 sepanjang tujuh tahun ini sejak dia tamat SPM, tetapi sejak dua tahun yang lepas, dia sudah boleh menjana pendapatan bersih RM5,000 paling minima. Umurnya baru 24 tahun.

Ada juga rakan sama sekolah dengan saya yang gagal SPM (tanpa sebarang kredit) dan dia ambil jalan mudah untuk tidak menyambung belajar. Namun, dia memilih untuk buat insurans dan dia belajar dari sana. Berbekalkan pengetahuan daripada mentornya, dia berkembang dan kini sudah memiliki sebuah rumah atas tanah dua tingkat, kereta Camry dan entah apa lagi. Saya yang cemerlang dalam peperiksaan dulu pun cemburu melihatnya!

Ada juga rakan-rakan yang terlalu taksub dengan bakat masing-masing seperti sukan, tarian, memasak dan sebagainya juga gagal dalam SPM/STPM, tetapi siapa mereka sekarang? Penari professional dengan studio latihan di Puchong, pemilik restoran yang terkenal dan masih mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.

Banyak lagi contoh yang saya boleh beri, bukan nak kata semua yang gagal peperiksaan itu hidup baik, cuma mahu berpesan supaya jangan memandang rendah mereka yang tidak dapat perform dalam peperiksaan.

Kejayaan peperiksaan adalah persiapan untuk menghadapi alam kedewasaan tetapi usaha dan semangat berterusan itu lebih penting untuk benar-benar berjaya. Dan usaha serta semangat itu masih boleh dijana oleh pelajar yang gagal. Jangan hanya kerana kita tidak nampak, kita buat kesimpulan yang jahil.

Bak kata orang tua, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Tiada ulasan: