Oleh Nizha Periaswamy
“Saya muak dengan tuduhan pihak berkuasa yang tak habis-habis tuding jari kepada pengguna jalan raya bila berlaku kemalangan,” kata seorang rakan. Nak buat macam mana, memanglah salah pemandu!
Dalam kebanyakan kes, sikap pemandu menjadi sebab utama terlibat dalam kemalangan, lebih-lebih lagi kemalangan yang menyebabkan maut. Pandu melebihi had laju, cuai, keadaan mabuk, tertidur, terbaru sambil melayan telefon bimbit, semuanya salah pemandu.
Malah, kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) saban hari menyatakan 80.6 peratus kemalangan yang berlaku disebabkan oleh kesilapan manusia.
“Tapi ia bukan faktor muktamad. Kita ada pelbagai faktor lain yang tidak didedah. Misalnya keadaan jalan raya dan kemudahan penyelengaraan yang tidak konsisten atau ‘up to date’.”
“Bulan lepas sahaja ada beberapa kemalangan maut akibat kenderaan terbabas ke jalan bertentangan termasuk satu lagi kes hari ini di Kuala Selangor. Mungkin kalau pihak berkuasa menggunakan penghadang jalan yang lebih kukuh ia dapat dielak, sekurang-kurangnya tanpa membabitkan kemalangan maut,” kata rakan saya itu lagi.
Saya tidak tahu mengenai kualiti penghadang jalan dan bagaimana ia boleh mengurangkan risiko kemalangan. Untuk penerangan yang lanjut, saya menghubungi Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam USM, Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
“Penghadang jalan terdiri daripada enam jenis bermula daripada TL1 hingga TL6, lagi besar angkanya, lagi kukuh, maknanya ia boleh menghalang kenderaan yang lagi berat,” katanya. Bagi panghadang saiz paling besar, TL6, misalnya, ia digunakan bagi laluan lori tanker dan traktor besar dengan ketinggian penghadang 2290 mm. Begitu juga dengan yang lain, setiap penghadang mempunyai spesifikasi berat dan ketinggian.
“Pada masa kini, jenis kenderaan pelbagai. Jika dulu kita hanya menggunakan kereta sedan, sekarang kita ada banyak kenderaan SUV, MPV, APV yang mana ketinggian dan beratnya lebih daripada sedan.
Mengambil kira itu, kita mungkin berdepan dengan penghadang yang tidak sesuai, khususnya di lebuh raya,” tambah bekas Ketua Pengarah MIROS, Dr. Farhan lagi.
Walaupun kesalahan manusia sebab utama kemalangan, beliau tidak menafikan elemen keselamatan jalan raya perlu dinilai semula dari semasa ke semasa supaya boleh mengurangkan risiko kemalangan maut.
Saya tidak pasti jika pihak pengendali lebuh raya menggunakan penghadang jalan yang sepatutnya mengikut kesibukan jalan dan kenderaan yang biasa digunakan, tetapi jika tidak, ini masanya untuk menilai semula subjek itu.
Dikatakan dalam keadaan tertentu TL5 misalnya, lebih ‘forgiving’ berbanding TL3 kerana mengurangkan impak kemalangan. Ia dipanggil ‘safe system approach’ dan ‘zero vision’ seperti mana yang digunakan di Eropah. Di sana, pihak berkuasa jalan raya sentiasa mempertingkat kualiti infrastruktur supaya jalan menjadi lebih selamat.
Kalau pihak pengendali lebuhraya bangga dengan kutipan tol berbilion, malulah kalau mereka tidak dapat meningkatkan kualiti aspek keselamatan.
Lagi satu, impak kemalangan juga akan berkurangan sekiranya had laju dikurangkan. Kelajuan pada tahap tinggi lebih berpotensi untuk membunuh atau memberi kecederaan berat berbanding kelajuan rendah.
Tetapi, orang kita mesti kecoh tak suka kerana bagi mereka kemalangan tidak akan berlaku kepada mereka, hanya orang lain.
Sebenarnya banyak lagi pendekatan dan langkah yang boleh digunakan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, khususnya kemalangan maut, tetapi ia harus dilakukan oleh semua pihak. Walaupun panjang lebar saya tulis pasal pengendali lebuhraya, saya kekal bersetuju bahawa sikap pemandu sebagai faktor paling besar kemalangan. Segalanya bermula dari kita!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan