Halaman

Sabtu, 5 Mac 2016

Pembangkang lupakan kezaliman Mahathir, fokus kepada Najib, kata Mat Sabu, Azmin

 Oleh Shuhaniza Said & Azizul Osman

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu berkata pembangkang mengambil pendirian melupakan kezaliman yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memerintah negara dan memfokuskan kepada pemerintah sedia ada, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, apa yang telah dilakukan oleh bekas perdana menteri itu adalah perkara lama dan kerajaan sedia ada yang seharusnya mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir di atas segala kesalahan pernah dilakukannya dan bukannya pembangkang.

Bagi saya dia ada kesalahan pada zaman dia. Kita kena menentang pemerintah yang zalim bukan yang dah pencen. Macam kita kutuk Firaun dah tidak ada, kalau kesalahan dibuat oleh Tun Mahathir masa pemerintahan, kerajaan sedia ada kena ambil tindakan," katanya ketika ditemui selepas majlis tanda tangan dokumen ‘Deklarasi Rakyat’ yang dipelopori Dr Mahathir.

Dokumen yang ditandatangani oleh 58 pemimpin pembangkang, aktivis dan bekas wartawan itu banyak mengitar semula tuduhan-tuduhan Dr Mahathir terhadap Najib mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.

Ditanya sama ada pembangkang sudah melupakan apa yang Dr Mahathir lakukan sewaktu 22 tahun memerintah, Mat Sabu berkata, pembangkang sebagai rakyat biasa tidak seharusnya dipersalahkan kerana tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Mahathir.

"Orang yang zalim tindakan dibuat pemerintah selepas itu, Najib patutnya ambil tindakan apa kesalahan yang Tun M buat tapi sekarang tidak ambil tindakan, kami nak ambik tindakan apa? Kami sebagai rakyat.

"Macam kita cakap kesalahan pemerintah dulu (Dr Mahathir) kita menentang pemerintah yang masa kini macam kita sebut kezaliman Firaun dia sudah tidak ada, kita kena sebut pemerintah sekaranglah," ujar pemimpin Pakatan Harapan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah pembangkang menerima jemputan Dr Mahathir seakan mencerminkan mereka kian melupakan tujuan asal gabungan pembangkang ditubuhkan, iaitu membela ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Seseorang tidak akan lupa sejarah tetapi kita harus belajar daripada sejarah dan apa yang berlaku hari ini ialah kita meletakkan kepentingan negara dan kepentingan rakyat itu bukan kepentingan individu.

"Apa yang telah disuarakan oleh Tun Mahathir adalah selari dengan prinsip perjuangan parti dalam Pakatan Harapan, soal reformasi sistem dan Pilihanraya. Jadi kita harus menyambut baik usaha ini dan menggabung seluruh tenaga untuk mencapai matlamat tersebut,"

Katanya pembangkang kini mula memfokuskan kepada kemelut kepimpinan negara dengan bekerjasama dengan Tun Mahathir untuk menjatuhkan Najib selaku Perdana Menteri.

"Yang kita bincang ini bukan soal kepartian, itu kita boleh bincang dalam pilihanraya tetapi kita meletakkan kepentingan negara yang sudah rosak, imej negara sudah tercalar, jadi sebagai rakyat yang bertanggugjawab kita kena mengembalikan keyakinan masyarakat kepada Malaysia dengan mendesak Najib meletakkan jawatan serta-merta," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.