KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar
menegaskan kehadirannya ke majlis menandatangani Deklarasi Rakyat bagi
mendesak pengunduran Datuk Seri Mohd Najib Razak, adalah atas kapasiti
peribadi dan tidak mewakili parti.
Walaupun tidak senada dengan pendirian parti yang enggan terlibat dalam
gerakan tersebut, Mahfuz berkata, beliau hadir sebagai rakyat Malaysia
yang 'insaf' dengan isu serta permasalahan yang berlaku dalam negara
kini.
Mahfuz juga berkata beliau sedia menerima apa jua yang bakal diputuskan
kepimpinan tertinggi parti ekoran kehadirannya di majlis berkenaan.
"Itu biasa, kalau mereka (parti) nak buat apa-apa, tak ada masalah.
"Ramai lagi (pemimpin PAS yang hadir). Datuk Mustafa Ali, Ketua
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat. Malaysiakini kata saya melawan arus,
rupanya ada lagi yang besar dari saya yang lawan arus," katanya ketika
ditemui pemberita selepas hadir di majlis berkenaan.
Selain Mahfuz, antara pemimpin PAS yang turut kelihatan hadir
menandatangani deklarasi berkenaan adalah Ketua Penerangan Dewan Ulama
PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali; Pengarah Pilihan Raya
PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam
Musa.
Keempat-empat mereka mengambil pendekatan bertentangan dengan pendirian
parti yang mengumumkan tidak akan terlibat dengan deklarasi untuk
menyingkirkan perdana menteri itu.
Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan
parti itu tidak turut serta dalam majlis menandatangani deklarasi
berkenaan.
Takiyuddin berkata, PAS mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri
melalui Blok Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara melalui
saluran yang demokrasi dan berperlembagaan.
Mahfuz berkata, pada ketika ini semua parti perlu mengenepikan ideologi
politik masing-masing dan menumpukan kepada perkara pokok, iaitu
mendesak penyingkiran Najib.
Katanya, menandatangi deklarasi ini bukanlah satu cara yang tidak
berdemokratik, malahan ia tidak bercanggah dengan undang-undang.
Sementara itu, Mustafa turut memberi alasan senada dengan Mahfuz ketika ditanya mengenai kehadirannya pada majlis.
"Tun (Mahathir) dah kata ini tak ada kena mengena dengan parti politik," katanya ringkas.
Bagi bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, tindakan Dr Mahathir ini
adalah langkah pertama untuk pembangkang bagi memastikan impian mereka
untuk melihat Najib meletakkan jawatan.
"Meminta Najib meletakkan jawatan adalah langkah yang pertama yang perlu disokong," katanya.
Menurutnya, langkah Dr Mahathir ini bertujuan untuk menyelamatkan negara yang kian dihimpin dengan kemelut pimpinan Umno.
Menurutnya, langkah Dr Mahathir ini bertujuan untuk menyelamatkan negara yang kian dihimpin dengan kemelut pimpinan Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.