HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Mac 2016

Peniaga berani naik harga, pengguna berani boikot?

 
Apa gunanya kuasa pengguna kalau peniaga terus menaikkan harga, apa gunanya hak rakyat jika kerajaan tidak menjaga kebajikannya?
 
 
 
roti-canai,kuih


Selamat datang ke negara harga selalu naik!

Langkah kerajaan menghapuskan subsidi seguni tepung gandum seberat 25 kilogram, saya percaya alasan ini akan digunapakai sebaiknya oleh pengusaha restoran termasuk mak cik dan pak cik jual yang jual kuih untuk menaikkan harga makanan berasaskan tepung.

Kalau tak pun, sekurang-kurangnya mereka akan bertindak licik dengan mengecilkan saiz makanan, daripada roti canai sebesar telapak tangan dewasa, entah-entah lepas ni jadi sebesar telapak tangan kanak-kanak. “Kami janji harga tak naik, tapi kami tak jamin saiz makanan akan kurang!”

Logiknya, setiap peniaga dari dulu hingga sekarang sememangnya menggunakan segala peluang yang ada untuk menaikan harga barang, sama ada mereka berbuat demikian benar-benar untuk menampung kos atau sengaja mengambil peluang, tiada siapa yang tahu.

Ini kerana kalau dibanding dengan penurunan harga bahan api, petrol dan diesel, tiada siapa pun yang kisah untuk menurunkan harga. Tetapi tiap kali ada pemotongan subsidi dan kenaikan bahan mentah, semua peniaga merungut mereka sedang bertarung untuk mengekalkan survival perniagaan mereka.

Justeru itu, kerana tiada pilihan, mereka terpaksa menaikkan harga makanan. Apapun, yang terkesan pengguna!

Saya tidak dapat menjangka lagi betapa penghapusan subsidi ini akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat Malaysia yang sudah semakin tertekan. Kalau roti canai naik 20 sen sekeping, di tambah dengan GST, adakah anda terkesan?

Keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terhadap pihak pengilang tepung dan kesannya kepada pihak ketiga dan keempat iaitu pengguna pastinya bukan sesuatu yang positif pada masa rakyat sedang ditekan dengan pelbagai kos sara hidup yang tinggi.

Ikut laporan, harga tepung di dalam guni seberat 25 kilogram yang biasanya dibeli oleh peruncit seperti peniaga kedai kopi dan restoran mamak akan meningkat kepada RM33.75 hingga RM42. Maknanya pengusaha kedai roti canai, roti dan makanan yang menggunakan tepung gandum yang akan terkesan.

Apapun, satu khabar baik kepada pengguna seperti saya ialah tepung beg satu kilogram yang dijual secara runcit masih diberikan subsidi RM1.35. Namun, saya tidak pasti juga jika langkah ini bijak dan rasional kerana kerajaan masih kabur dengan kaedah untuk mengawal jualan tepung paket sekilogram ini dalam kalangan pengguna biasa.

Ini kerana peniaga kecil masih boleh memanipulasi dengan membeli tepung sepaket (1kg) secara runcit dengan subsidi bagi sekilogram tepung tetapi menggunakan peluang untuk menaikkan harga makanan, kononnya menyalahkan kerajaan kerana memotong subsidi untuk tepung 25 kilogram.

Walhal, kalau saya sendiri seorang peniaga, saya juga akan berbuat demikian…

Baru-baru ini, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) berjanji tidak akan menaikan harga roti canai dan makanan berunsurkan gandum sekiranya kerajaan menarik balik subsidi gandum 25 kilogram (kg).

Presiden PRESMA, Noorul Hassan Saul Hameed membuat janji itu tetapi adakah janji beliau diakui oleh 3,200 ahli-ahli yang lain dan apakah tindakan PRESMA jika terdapat ahlinya yang menaikkan harga?

Ataupun mengurangkan saiz makanan? Maaflah, saya pun macam tak percaya kalau harga makanan tak naik, tetapi saya menghormati jaminan PRESMA, cuma mahu Presidennya, lebih kukuh dan konsisten mengaplikasi jaminan itu daripada sekadar berkata-kata.

Kontra dengan jaminan itu, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sivarajan Arumugan pula menyatakan jaminan harga tidak akan naik sebagai helah dan menggesa supaya pengguna tidak mudah tertipu dengan jaminan harga roti canai dan makanan berasaskan gandum tidak akan naik walaupun kerajaan menarik balik subsidi gandum 25 kg.

Beliau memberi reaksi itu memandangkan harga barang terkawal sekalipun di lihat dalam masa setahun lepas pelbagai kenaikan harga barang telah berlaku.

Malah, Sivarajan menjangkakan lebih banyak subsidi yang diberikan kerajaan sebelum ini akan dihapuskan kerana langkah tersebut dibuat mengikut modul ekonomi yang mendesak kerajaan menarik balik tanggungjawab dengan membiarkan rakyat membayar semua kenaikan tersebut.

Menarik bukan? Menarik sangat bila negara dijangka akan meletakkan beban ke atas pengguna atas kelalaian dan kegagalannya menanggani masalah ekonomi. Menarik sangat!

Sebagai pengguna dan rakyat yang terang-terangan terhimpit dengan polisi ‘lepas tangan’ kerajaan dan sikap kapitalis peniaga, apa yang boleh kita lakukan? Boikot sahaja! Boikot restoran yang naikkan harga, boikot makan roti canai, boikot itu, boikot ini! Tunjuk kuasa pengguna, jangan mengalah – sambil order dua keping roti canai banjir dan teh tarik bergula.

Tiada ulasan: