SHAH ALAM: Pantas menyambar peluang, Pakatan Harapan hari ini sekali
lagi menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebahagian
daripada pembaharuan politik negara yang dituntut oleh Tun Mahathir
Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan, pemimpin utama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara
(PAN) berkata Anwar tidak boleh kecualikan dalam gerakan ke arah
pembaharuan politik di negara ini.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Lim Guan Eng (DAP) dan
Mohamad Sabu (PAN) turut memberi sokongan mereka kepada pendirian
Mahathir dan Muhyiddin .
“Pakatan Harapan menyifatkan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa
negara memerlukan reformasi institusi dan keputusan Tun Mahathir Mohamad
keluar dari Umno sebagai perkembangan positif yang perlu dialu-alukan,”
kata mereka.
“….sebarang perubahan mestilah melibatkan reformasi institusi yang
menyeluruh (termasuklah pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjadi
mangsa salahguna kuasa), bukannya setakat menukar Perdana Menteri
tetapi mengekalkan sistem sedia ada,” tambah kenyataan itu.
Anwar dihukum penjara lima tahun kerana kesalahan sodomi terhadap bekas
pembantunya selepas perbicaraan paling lama dalam sejarah perundangan
negara.
Namun keputusan mahkamah itu terus dicanang oleh PKR dan dua parti
komponen lain dalam Pakatan Harapan sebagai mengikut telunjuk
pemerintah yang kononnya mahu menghancurkan kerjaya politik beliau.
Antara yang kerap membidas pendirian pembangkang itu adalah Mahathir
sendiri, namun berikutan keputusan mantan perdana menteri itu keluar
daripada Umno semalam, PKR dan Pakatan Harapan makin berlembut dengan
beliau.
“Kenyataan-kenyataan Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin
setakat ini ….secara umumnya mirip kepada dasar yang diperjuangkan oleh
Pakatan Harapan selama ini yang menuntut reformasi institusi yang
menyeluruh,” kata tiga pemimpin Pakatan Harapan itu.
Menurut mereka, sebuah gerakan akan dilancarkan ke arah
memperjuangkan pembaruan sistem politik negara dan butiran lanjut
mengenainya akan diumumkan pada Isnin depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan