SEREMBAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kecewa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahu bergabung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Aktivisnya, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berkata PH kini dilihat lemah kerana tunduk kepada bekas perdana menteri itu.
"Pada kali ini kita mengangkat tokoh ini dan ia adalah sangat-sangat menjolok mata dan sangat 'hodoh' dan bodoh untuk mengangkat beliau ini sebagai ikon reformasi
"Kami kecewa dengan Pakatan Harapan yang kamu baru sahaja menubuhkan gabungan politik yang secara bangga kamu beritahu bahawa ini adalah gabungan politik terbaik dengan ada dokumen perjanjian dan sebagainya.
"Tapi sampai hari ini kamu boleh lemah dan akhirnya kamu menyembah pada Tun Mahathir dan kamu mengangkat (Tan Sri) Muhyiddin (Yasin) sebagai tokoh reformasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chegubard berkata, PH perlu sedar bahawa Tun Mahathir menggunakan skrip yang sama ketika menjatuhkan kerajaan Tun Abdullah Badawi dan selepas itu beliau kembali kepada Umno.
"Dalam keadaan kita sedar bahawa kemusnahan negara hari ini sebahagian daripada plot besar adalah berpunca daripada Tun Mahathir itu sendiri.
"Adakah kita lupa skrip yang sama ketika Tun Mahathir meletak jawatan kita berhadapan dengan Tun Abdullah yang mana Abdullah gagal menjadi boneka yang baik kepada dia," ujarnya.
Semalam, Sekretariat Pakatan Harapan (PH) menafikan pakatan itu terbabit dalam sidang media bersama Dr Mahathir.
Ketua setiausahanya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata mana-mana pemimpin PKR, DAP dan Parti Amanah Negara yang hadir pada sidang media bersama mantan Perdana Menteri itu hari ini berbuat demikian sebagai individu dan bukan atas nama Pakatan Harapan.
Petang ini, Dr Mahathir dijangka akan menandatangani satu deklarasi bersama pemimpin parti pembangkang menuntut peletakkan jawatan Najib sebagai perdana menteri.
Portal The Malaysian Insider melaporkan Muhyiddin dan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka turut menandatangani deklarasi bersama Dr Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.