KUALA LUMPUR: Hanya sekitar 2000 orang peserta hadir pada Himpunan Anti GST anjuran Pakatan Harapan hari ini.
Biarpun penganjur bersungguh-sungguh mencanang himpunan itu akan turut
disertai rakan kongsi terbaru mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Himpunan itu pada awalnya dianjurkan untuk mendesak kerajaan
Persekutuan memansuhkan pelaksanaan GST atau Cukai Barangan dan
Perkhidmatan.
Rata-rata pemimpin yang tampil berucap mendakwa GST membebankan rakyat
dan meninta kerajaan lebih prihatin kepada nasib golongan pertengahan
dan ke bawah itu.
Namun himpunan itu lari daripada objektif penganjurannya apabila
peserta dan pemimpin pembangkang tidak fokus kepada isu pelaksanaan
cukai itu.
Sebaliknya mereka lebih gemar menaikkan kain rentang dan plakad
mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berundur
disamping mendesak agar bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim dibebaskan daripada penjara Sungai Buloh.
Pemimpin pembangkang juga tidak mengulas kenyataan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bahawa pelaksanaan GST membantu
mengukuhkan ekonomi negara dikala harga minyak dunia jatuh merudum.
Malaj kutipan itu yang lebih tinggi daripada jangkaan asal itu
membolehkan kerajaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa
ini, ujar Najib.
Untuk rekod, lebih RM51 bilion berjaya dikutip Kastam sejak
pelaksanaan GST, berbanding kutipan RM37.2 bilion pada 2014 tanpa cukai
tersebut.
Pembangkang mungkin agak terkesan apabila himpunan ini adalah antara
paling sedikit penyertaan peserta dalam sejarah penganjurannya. Faktor
cuaca panas terik mungkin menjadi penyebab himpunan hari ini tidak
mencapai sasaran.
Namun Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN), Mohamed Sabu memberi
jaminan, himpunan seperti ini tetap akan diteruskan dengan penyertaan
rakyat yang jauh lebih ramai.
Tun Mahathir yang tiba pada saat-saat akhir terus menggesa rakyat agar
menandatangani Deklarasi Rakyat sebelum ia dipanjangkan ke pengetahuan
Majlis Raja-raja.
"Sebab itu kita harus singkirkan Najib. Tolong tandatangani deklarasi
supaya dapat hadapkan rintihan rakyat kepada raja-raja Melayu.
"Walaupun tiada dalam Perlembagaan tapi raja-raja akan dengar suara rakyat. Tanpa rakyat tidak ada raja," ujar Tun Mahathir.
Selain Mohamed Sabu dan Tun Mahathir turut tampil menyampaikan ucapan
adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dua Naib
Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Setiausaha Agung PKR,
Rafizi Ramli, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad serta
ADUN-ADUN PKR seperti Chang Lih Kang, Dr Xavier Jayakumar dan lain-lain.
Namun paling ketara, tiada kelibat pemimpin PAS dalam himpunan ini. Ini
bukan kali pertama pemimpin PAS memulaukan program anjuran Pakatan
Harapan walaupun parti itu tidak menghalang mana-mana ahlinya untuk
menyertai himpunan itu.
Himpunan Anti GST memulakan perarakan dari empat 'checkpoint' iaitu
Masjid Jamek Kampung Baharu, Pasar Seni, Jalan Sultan dan Kompleks
membeli belah SOGO. Mereka kemudiannya meneruskan perarakan itu ke
Dataran Merdeka.
Bagaimanapun mereka tidak berjaya memasuki kawasan tersebut selepas
dihalang pagar besi yang disusun polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) atas sebab keselamatan.
Himpunan itu berakhir sekitar jam 5.45 petang secara aman selepas Tun Mahathir selesai memberikan ucapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan