Halaman

Ahad, 3 April 2016

Himpunan Anti GST jadi 'anti klimaks'

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
KUALA LUMPUR: Hanya sekitar 2000 orang peserta hadir pada Himpunan Anti GST anjuran Pakatan Harapan hari ini.
 
Biarpun penganjur bersungguh-sungguh mencanang himpunan itu akan turut disertai rakan kongsi terbaru mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Himpunan itu pada awalnya dianjurkan untuk mendesak kerajaan Persekutuan memansuhkan pelaksanaan GST atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
 
Rata-rata pemimpin yang tampil berucap mendakwa GST membebankan rakyat dan meninta kerajaan lebih prihatin kepada nasib golongan pertengahan dan ke bawah itu.
 
Namun himpunan itu lari daripada objektif penganjurannya apabila peserta dan pemimpin pembangkang tidak fokus kepada isu pelaksanaan cukai itu.
 
Sebaliknya mereka lebih gemar menaikkan kain rentang dan plakad mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berundur disamping mendesak agar bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara Sungai Buloh.
 
Pemimpin pembangkang juga tidak mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bahawa pelaksanaan GST membantu mengukuhkan ekonomi negara dikala harga minyak dunia jatuh merudum.
 
Malaj kutipan itu yang lebih tinggi daripada jangkaan asal itu membolehkan kerajaan menghadapi  ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa ini, ujar Najib. 
 
Untuk rekod, lebih RM51 bilion berjaya dikutip Kastam sejak pelaksanaan GST, berbanding kutipan RM37.2 bilion pada 2014 tanpa cukai tersebut.
 
Pembangkang mungkin agak terkesan apabila himpunan ini adalah antara paling sedikit penyertaan peserta dalam sejarah penganjurannya. Faktor cuaca panas terik mungkin menjadi penyebab himpunan hari ini tidak mencapai sasaran.
 
Namun Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN), Mohamed Sabu memberi jaminan, himpunan seperti ini tetap akan diteruskan dengan penyertaan rakyat yang jauh lebih ramai.
 
Tun Mahathir yang tiba pada saat-saat akhir terus menggesa rakyat agar menandatangani Deklarasi Rakyat sebelum ia dipanjangkan ke pengetahuan Majlis Raja-raja.
 
"Sebab itu kita harus singkirkan Najib. Tolong tandatangani deklarasi supaya dapat hadapkan rintihan rakyat kepada raja-raja Melayu. 
 
"Walaupun tiada dalam Perlembagaan tapi raja-raja akan dengar suara rakyat. Tanpa rakyat tidak ada raja," ujar Tun Mahathir.
 
Selain Mohamed Sabu dan Tun Mahathir turut tampil menyampaikan ucapan adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad serta ADUN-ADUN PKR seperti Chang Lih Kang, Dr Xavier Jayakumar dan lain-lain.
 
Namun paling ketara, tiada kelibat pemimpin PAS dalam himpunan ini. Ini bukan kali pertama pemimpin PAS memulaukan program anjuran Pakatan Harapan walaupun parti itu tidak menghalang mana-mana ahlinya untuk menyertai himpunan itu. 
 
Himpunan Anti GST memulakan perarakan dari empat 'checkpoint' iaitu Masjid Jamek Kampung Baharu, Pasar Seni, Jalan Sultan dan Kompleks membeli belah SOGO. Mereka kemudiannya meneruskan perarakan itu ke Dataran Merdeka.
 
Bagaimanapun mereka tidak berjaya memasuki kawasan tersebut selepas dihalang pagar besi yang disusun polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas sebab keselamatan.
 
Himpunan itu berakhir sekitar jam 5.45 petang secara aman selepas Tun Mahathir selesai memberikan ucapannya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.