Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Apakah
rakyat Malaysia kini sudah mula muak dengan politik? Mungkinkah keadaan
ini menyebabkan mereka dihinggapi sikap apati atau tidak peduli lagi
dengan apa jua yang berlaku dalam politik negara?
Apakah perkembangan politik yang menyelimuti hampir semua aspek
kehidupan mereka yang umumnya bersifat negatif dan menjijikkan sejak
hampir dua dekad lalu sudah mula menampakkan natijah buruknya?
Kesuraman ini amat berbeza bila dibandingkan dengan empat siri
Perhimpunan Bersih yang pernah diadakan di ibukota sebelum ini. Dan,
yang lebih jelas ialah bilangan rakyat yang berhimpun majoritinya
terdiri dari kalangan Melayu.
Mengapa penyertaan dari kaum lain tidak menonjol payah difahami. Walhal
yang paling banyak merungut dengan pelaksanaan sistem GST sejak setahun
lalu ialah ahli-ahli perniagaan yang sudah tentu majoritinya bukan
Melayu?
Adakah ini bermakna sebagai peniaga yang pragmatik, peniaga-peniaga
bukan Melayu lebih mudah faham konsep dan sistem pelaksanaan GST dan
mereka kini akur bahawa sistem percukaian ini tidak mungkin dapat
dihapuskan?
Lantas daripada membuang masa dan tenaga menunjuk perasaan memprotes
GST, mungkinkah mereka berfikir adalah lebih baik menjauhkan diri
daripada acara yang tidak boleh menambah hasil pendapatan itu?
Atau, adakah kurangnya sambutan protes GST ini kerana dipengaruhi
faktor cuaca? Adakah musim panas akibat fenomena el Nino yang sedang
melanda negara kini menghalang lebih ramai yang datang memberi sokongan?
Persoalannya bukankah pakatan politik bentuk baru kini untuk mencantas
apa yang dikatakan punca dan akar umbi kesuraman ekonomi negara iaitu
perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru sahaja bermula?
Tidakkah penyertaan mereka dengan objektif politik serampang tiga mata –
jatuhkan Najib; hapuskan GST, dan Bebaskan Anwar Ibrahim – saling
berkait dalam manifesto perjuangan pembangkang baru?
Namun mengapa kempen anti-GST sepi?
Atau, adakah kerana PAS tidak menyertai perhimpunan kali ini maka
jentera yang berkesan yang mampu menarik perhatian rakyat untuk
menjadikan anti-GST satu pukulan maut kepada kerajaan Umno-BN,
menyebabkan kesuraman ini?
Rakyat mula sedar helah pembangkang
Yang pastinya, rasa kecewa dan ngeri terhadap hala tuju politik negara
nampaknya mula menggigit kesejahteraan rakyat. Keadaan ekonomi dunia
yang suram jelas diputar oleh pembangkang demi menanam persepsi bahawa
Malaysia negara yang paling teruk terkena kesannya.
Apa sahaja kesempatan dan peluang akan digonggong seerat mungkin oleh
pembangkang untuk menggambarkan betapa pimpinan negara begitu berdosa
dan lemah hingga mengakibatkan kemurungan ekonomi ini.
Pembantaian terhadap wibawa kerajaan disebarluaskan dalam setiap
kesempatan untuk meluruhkan sendi politik kerajaan. Nama Malaysia pun
ditaburkan pelbagai satu keburukan.
Akhirnya pihak pembangkang meyakini kempen yang ditebarkannya
bahawasanya Malaysia memang benar sebuah negara yang gagal mencapai
matlamatnya.
Akibatnya, secara langsung atau tidak ramai rakyat yang mempunyai
kemampuan dan kemahiran berasa Malaysia bukan lagi sebuah tempat tinggal
yang sejahtera dan tenteram. Maka banyaklah cakap-cakap mahu
berhijrah.
Namun statistik rasmi berhubung penghijrahan rakyat berkemahiran dan
berpemikiran tinggi keluar Malaysia tidaklah begitu besar. Pemerintah
masih yakin penghijrahan ini boleh dibendung.
Bagaimanapun yang dikhuatiri ialah polemik, pertembungan dan konflik
yang dipacu oleh semua pihak yang cuba menyusun-atur politik Malaysia
mengikut selera mereka ini, terus mengusik jiwa rakyat.
Segala tohmahan, fitnah dan pemikiran politik ganas seperti mahu
menggalakkan tidur di jalan raya berhari-hari seperti pernah berlaku di
negara jiran dan Arab Spring, amat mengusik kalbu rakyat.
Bagi mereka politik tidak membawa banyak kebaikan. Sejak kemelesetan
ekonomi dunia berlaku pada 1997-1998, Malaysia sentiasa diapit oleh
masalah politik.
Hampir semua isu dan masalah negara boleh dikaitkan dengan politik.
Kepemimpinan politik Malaysia goncang. Strategi dan serang balas tokoh
dan parti politik hanya menyesakkan keharmonian kaum, bangsa dan agama.
Mungkinkah rakyat sudah mula lesu dan mual dengan politik?
Perpecahan dalam PAS hingga melahirkan Parti Amanah Negara (PAN);
politik berpuak dalam PKR dan Umno serta kebangkitan rakyat Sabah dan
Sarawak mahukan hak lebih, menghunjamkan Malaysia dalam keadaan tidak
menentu.
Jika GST bukan isu nasional yang boleh memikat minat rakyat, politik
apa lagi yang mampu mendorong mereka keluar berhimpun memperjuangkan hak
mereka?
Kemelesetan wibawa politik Malaysia harus ditangani segera.
Pelaku-pelaku politik negara tidak banyak berubah sejak 18 tahun lalu.
Mahathir, Anwar, Tengku Razaleigh, Hadi Awang adalah antara penyumbang
kepada keadaan murung ini.
Adalah tidak wajar jika hanya mereka diberi lesen untuk mencatur
politik Malaysia. Seharusnya demi negara mereka perlu menggerakkan satu
wacana dan menyusun strategi politik budiman yang akan menjadikan
Malaysia negara aman dan sejahtera di bawah langit Allah Azza Wa Jalla.
Tambahkan amal membantu rakyat dan bukan tingkatkan hujah untuk melayan ego dan nafsu untuk berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan