Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN]
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yakin jika objektif
parti-parti pembangkang ialah mahu menewaskan Barisan Nasional (BN) dan
menurunkan perdana menteri, mereka pasti mampu mencapai kata sepakat.
PAS tegas dengan pendirian bahawa kerusi parlimen Sungai Besar dan
Kuala Kangsar adalah kerusi tradisi yang ditandinginya dan tidak akan
melepaskan peluang untuk meletakkan calonnya dalam PRK berkenaan.
Bagi PAS, di kalangan parti-parti pembangkang seharusnya PKR-lah yang
paling wajar memahami pendiriannya itu kerana PKR adalah rakan politik
yang masih menjalin tahaluf siyasi dengannya.
Sewajarnya PKR sensitif bahawa PAS bukan kerabat Pakatan Harapan (PH)
yang menggantikan Pakatan Rakyat. Justeru sebagai rakan tahaluf, adalah
kurang sopan bagi PKR mencadangkan PAS tidak bertanding di PRK
berkenaan.
Tidak terfikirkah Azmin bahawa PAS buat masa ini bergerak bersendirian
untuk mencapai apa yang dikatakannya 'objektif yang sama' untuk
menumbangkan Barisan Nasional.
Lantas mengapa Azmin sendiri tidak mengesyorkan kepada DAP dan PAN
supaya memberi laluan kepada PAS bertanding di kedua-dua PRK berkenaan.
Lebih molek lagi jika Azmin menggalakkan DAP dan PAN membantu PAS.
Dengan cara itu, mungkin barulah pelawaan awalnya kepada PAS supaya
bekerjasama dengan Pakatan Harapan demi memperkukuhkan barisan
pembangkang ada merit dan ikhlas.
Mungkin akan terbuka hati pimpinan PAS bahawa dalam mencapai objektif
'mengajar' BN, pembangkang mesti bersatu hati dan bekerjasama.
DAP awal-awal lagi mengisytiharkan ia tidak berminat meletakkan calon
dalam PRK terbabit kerana ia adalah kawasan majoriti pengundi Melayu.
PAN pula yang baru masuk gelanggang politik tanah air beria-ia mahu
'menguji sokongan' bahawa ia adalah pengganti PAS dalam kedudukannya
sebagai sebuah parti politik Islam.
Apakah Azmin tidak nampak realiti ini atau pelawaannya adalah sekadar
mahu membuat kenyataan politik setelah gagal menangani isu pertembungan
calon-calon PKR dengan calon DAP dalam pilihan raya negeri Sarawak?
Azmin cuba serlah kemampuan
Nampaknya Azmin mahu menyerlahkan kemampuannya sebagai seorang
politikus pemikir yang sudah sampai tahap seorang negarawan. Kononnya
demi kepentingan rakyat, beliau sanggup 'memujuk' PAS untuk bersama
mengukuhkan kedudukan pembangkang.
Sebaliknya, yang mungkin menghampakan PAS ialah, dalam usaha untuk
memprojekkan imej kenegarawanannya, Azmin peliknya mengingatkan PAS
supaya akur akan senario politik yang berbeza perlu diambil kira oleh
PAS dalam isu menentukan calon dalam PRK berkenaan.
Soalnya, apa yang berbeza? Adakah sekarang sudah ada sebuah lagi parti
yang mengaku pembangkang – PAN – maka PAS tiba-tiba tidak layak
bertanding merebut kerusi yang secara tradisinya pernah ditandinginya?
Nampaknya Azmin mengambil posisi yang salah dalam percubaannya untuk
menjadi jambatan Pakatan Harapan dalam hubungannya dengan PAS.
Tambahan pula, Azmin kelihatan gopoh apabila berasa agak tersergap
dalam isu ini. Apabila Haji Hadi menafikan ada rundingan diadakan di
antara Azmin dengan beberapa pemimpin kanan PAS, Azmin naik berang.
Beliau menuduh Haji Hadi tidak tahu apa yang berlaku dalam partinya
sendiri. Kilas Azmin itu hendak mematikan langkah Hadi dalam isu PRK ini
dengan mendedahkan beliau sudah berunding dengan Timbalan Presiden PAS,
Pengarah Pilihan Raya parti itu serta setiausaha politik Hadi sendiri.
Di sini, jelas Azmin kurang mengambil berat soal adab dan protokol
dalam PAS. Ketiga-tiga pemimpin PAS berkenaan dirundinginya sebelum PAS
sendiri menetapkan pendirian mereka dalam isu berkenaan.
Sudah tentu Hadi sebagai presiden PAS tidak akan memberi mandat kepada
Azmin dan ketiga-tiga pemimpin PAS untuk membuat keputusan bagi PAS
sebelum beliau sebagai Presiden memanggil mesyuarat PAS terlebih
dahulu.
"Saya tidak akan putus asa dan akan terus berusaha berbincang dengan
semua wakil parti pembangkang sama ada PAS, Parti Amanah Negara (PAN)
dan DAP dalam isu calon untuk menguatkan jentera sebagai persediaan
menentang BN.
"Jika kita berpegang kepada objektif yang sama (iaitu) mahu menewaskan
BN dan menurunkan perdana menteri, kita pasti mampu capai kata sepakat,"
katanya.
Diplomasi politik Azmin masih 'jauh'
Jelas tingkah Azmin didorong perkiraan politik. Beliau cuba lunak pada
PAS untuk membuktikan kepimpinan dan keprihatinannya akan perjuangan
parti itu.
Pada masa sama beliau juga mahu mempamerkan sikap tegas kepada DAP dan
PAN bagi menyerlahkan kepimpinannya mampu 'memimpin PAS' akur pada
perjuangan pembangkang.
Meskipun beliau menafikan laporan berkenaan, namun PAS berpegang pada maklumat bahawa memang benar ada membuat gertakan itu.
Di samping itu, dalam keadaan yang agak genting ini, Azmin juga perlu
ada keberanian menegur kerabatnya PAN yang secara semberono menuduh PAS
lebih selesa bekerja dengan Umno.
"Memang dari awal kita nampak PAS sudah ambil sikap bersendirian, malah
sekarang mereka lebih mesra dengan Umno," kata Setiausaha Agung PAN,
Anuar Tahir.
PAS tidak memerlukan pembelaan Azmin untuk menangani 'usikan' PAN.
Bagaimanapun jika Azmin mahu menjadi 'abang besar' dalam Pakatan
Harapan, beliau tidak seharusnya membiarkan rakan tahaluf siyasinya
'diejek' begitu rupa.
Nampaknya, di segi diplomasi politik, Azmin masih jauh dari status
boleh menjadi penyatu dalam Pakatan Harapan mahupun entiti pembangkang
lain.
Sukar dibayangkan Azmin mampu mengisi tempat Anwar Ibrahim yang
berhasil menggembleng perpaduan pembangkang dalam dua pilihanraya umum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.