KUALA LUMPUR: Kira-kira 960,000 atau 60 peratus daripada 1.6 juta
penjawat awam masih tidak memiliki rumah, demikian menurut Kongres
Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata daripada jumlah itu, sebanyak 75
peratus merupakan mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah.
"Sempena Hari Pekerja pada hari ini, kami mahu kerajaan sentiasa
mengambil perhatian terhadap keperluan penjawat awam iaitu memiliki
kediaman sendiri selain kerajaan perlu memainkan peranan dalam mengawal
harga dan menambah rumah mampu milik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari
Pekerja Cuepacs yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini Ahad.
Sambutan Hari Pekerja Cuepacs tahun ini bertemakan 'Pekerja Tonggak
Kemakmuran Negara' turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan
Sri Mohamad Zabidi Zainal dan kira-kira 1,000 penjawat awam daripada
pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Azih berkata ada di antara penjawat awam yang sudah bersara, masih
tidak memiliki rumah dan mereka terpaksa menyewa rumah sebaik tamat
perkhidmatan.
"Bayangkan ada yang sudah bersara yang sebelum ini tinggal di kuarters
kerajaan tidak memiliki rumah dan ada kakitangan kerajaan terpaksa
tinggal dalam satu rumah yang turut didiami oleh dua tiga keluarga yang
lain.
"Tanpa campur tangan kerajaan dalam menentukan harga rumah, pejawat awam tidak akan mampu memiliki rumah," katanya.
Sambutan itu turut menyaksikan beberapa anugerah disampaikan antaranya
kategori Kesatuan Cemerlang yang dimenangi oleh Kesatuan Kebangsaan
Kakitangan Mara; Anugerah Majikan Prihatin Peringkat Wilayah Persekutuan
dimenangi oleh Majlis Amanah Rakyat dan Anugerah Majikan Prihatin
Peringkat Badan-Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan dimenangi
Majlis Bandaraya Shah Alam.
Selain itu, bagi Anugerah Khas CUEPACS dimenangi oleh Ketua Pengarah
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Datuk Seri
Zainal Rahim Seman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan