Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Benar dan
wajarkah surat Anwar Ibrahim yang ditujukan kepada barisan pimpinan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap khusus untuk pemahaman dan tindakan
pemimpin dan ahli-ahli parti itu sahaja?
Pemimpin-pemimpin PKR nampaknya tidak mahu teguran Anwar itu menjadi
bahan perbincangan umum kerana mungkin khuatir ia menerbitkan persepsi
kurang baik berhubung soal kerukunan dan kesejahteraan dalam parti itu.
Begitu juga dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Beliau
menganggap mesej yang terkandung dalam warkah bekas Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “hal rumah tangga PKR”.
Mungkinkah beliau bimbang jika pendirian Anwar itu menjadi perbincangan
awam atau agenda Pakatan Harapan, ia akan merencatkan gerak kerja
pakatan itu kerana perlu menilai semula pembabitannya dengan Mahathir?
Paling tegar menafikan campurtangan “orang luar” ialah Timbalan
Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, dan Naib Presiden, Shamsul Iskandar
Akin. Mereka menyifatkan ehwal PKR tidak perlu dikongsi pihak lain,
termasuk media.
Dengan serius Azmin menggambarkan kerengsaannya menjawab soalan
wartawan meminta komen beliau mengenai peringatan Anwar tentang taktik
Mahathir yang dianggap elit politik berbahaya pada perjuangan reformasi
PKR.
Shamsul pula merumuskan bahawa warkah Anwar itu bukan arahan supaya PKR
menjarakkan diri dari kempen Deklarasi Rakyat mantan Perdana Menteri
itu.
Katanya, intipati surat Anwar cuma satu peringatan pada pucuk pimpinan
PKR supaya berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan Tun Mahathir
dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. Ia bukan bermaksud
melarang.
Jadi jika surat Anwar itu adalah soal rumahtangga PKR yang mahu
reformasi ditegakkan dalam setiap sendi pentadbiran negara mengapakah
pihak luar, terutama rakyat dan media, dilarang daripada terbabit dalam
wacana Anwar itu?
Bukankah Anwar dengan terang mengingatkan bahawa gerakan reformasi
semakin malap dan keghairahan PKR sendiri semakin luntur kerana
“dikerdilkan” oleh agenda Mahathir yang juga mahu “menyelamatkan
negara”?
Mahathir mungkin punca reformasi Anwar terkubur
Mahathir mensasarkan usaha menurunkan Datuk Seri Najib daripada kerusi
Perdana Menteri Malaysia. Mahathir juga tidak berselindung untuk menewas
dan mengaibkan Umno-BN dalam dua pilihanraya kecil bulan depan.
Anwar mungkin khuatir jika “kemenangan-kemenangan kecil” Mahathir jadi
kenyataan, ia akan melalaikan pimpinan PKR dan menjalar kepada pimpinan
Pakatan Harapan dan akhirnya menyebabkan idealisme reformasi terkubur.
Setakat ini Parti Amanah Negara (PAN) tidak menunjukkan minat mengambil
ibrah daripada surat Anwar. Ia sibuk meletakkan calon dalam PRK Sg
Besar dan Kuala Kangsar untuk menjadi dalil ia adalah pengganti PAS
sebagai parti Islam.
Soal bahaya pemikiran dan strategi politik Mahathir bukan perkara utama
bagi PAN. PAS juga tidak berselera mengulas mesej surat Anwar itu
kerana turut leka mempertahankan “haknya” meletakkan calon dalam
kedua-dua PRK itu.
Kalau sikap tidak acuh parti-parti komponen Pakatan Harapan dan PAS ini
berlarutan sudah tentu ia akan membawa maksud bahawa kebimbangan Anwar
berasas. Parti-parti berkenaan memang terpukau dengan taktik Mahathir.
Sekaligus ia juga boleh dibaca bahawa pengaruh Anwar semakin susut dek
jeriji besi penjara Sungai Buloh yang menghalang karismanya merangsang
perjuangan reformasi yang digerakkan sejak 1998.
Ia juga boleh dibaca sebagai petunjuk kegesitan ilmu politik Mahathir.
Selain itu, ia ia turut menggambarkan bahawa baik pimpinan PKR, mahupun
DAP, PAN dan juga PAS sendiri mahu bersikap badan siasah yang elitis.
Rakyat dihalang dan dinafikan hak untuk membincang dan mengambil
bahagian membentuk dinamika politik negara. Sesungguhnya ini sesuatu
yang malang bagi politik pembangkang dan pembangunan wacana politik
sihat.
Bukankah faktor politik Mahathir dan Anwar ini menjadi salah satu anak
kunci pada perkembangan politik negara. Anwar mengingatkan PKR dan
akhirnya rakyat tentang bahaya politik elitis Mahathir?
Anwar masih dendam Mahathir?
Bagaimanapun Mahathir pula tidak segan silu menyatakan bahawa isu yang
mendasari saingan beliau dan Anwar kini ialah soal dendam.
“Memang la, dia (Anwar) pun dendam pada saya. Sama-sama berdendam,”
kata Mahathir seraya mengakui tidak mustahil masih wujud dendam di
antara beliau dengan Anwar Ibrahim ketika mereka menerajui negara.
Bagaimanapun beliau menegaskan tuduhan Anwar dalam suratnya yang
mendakwa beliau (Mahathir) menggunakan pentas Deklarasi Rakyat sebagai
membalas dendam adalah tidak tepat.
Yang muktamad jika mengikut bacaan Mahathir ialah, masih ada saling
dendam di antara beliau dengan Anwar. Kesumat mereka ini tentu mempunyai
unsur yang boleh mencorakkan politik negara dan nasib rakyat.
Lantas sikap dingin DAP, PAS dan PAN berhubung isu ini agak
menggusarkan. PKR tidak boleh menganggap pendirian Anwar itu sebagai
rahsia dan tidak perlu membabitkan rakyat.
Perihal persaingan merebut kuasa dan pengaruh dalam PKR adalah satu
persoalan yang ada kesan pada rakyat. Menafikan hakikat itu bererti
menafikan hak rakyat dan tidak demokratik.
Sikap membisu untuk “jaga tepi kain sendiri” oleh parti-parti
pembangkang ini agak mengecewakan. Belumpun diberi mandat memerintah,
mereka sudah meracik hak partisipasi rakyat dalam politik.
Jika sikap ini berterusan, ia bukan sahaja akan menggencatkan peluang
mereka menakluki Putrajaya kerana persepsi rakyat bahawa pembangkang
berwibawa menjadi alternatif Umno-BN mungkin pudar.
Rakyat mesti diajak menyertai wacana saingan Anwar-Mahathir ini kerana
rakyat perlu memilih dendam siapa yang lebih berbahaya kepada
keharmonian hidup anak cucu mereka di kemudian hari.
Sebelum rakyat membuat pilihan, PKR dan parti-parti pembangkang lain
wajib memutuskan siapa yang wajar mereka pilih sebagai nakhoda
pembangkang – Anwar atau Mahathir.
Ini kerana di antara kedua politikus veteran ini ialah dendam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan