ANTARAPOS.COM
BALING: Seorang ibu melahirkan perasaan leganya apabila ketumbuhan yang
didakwa sebagai janin yang dikandung selama 15 tahun oleh anak
lelakinya berjaya dikeluarkan pada Selasa lepas.
Hasmah Ahmad, 38, berkata walaupun terkejut dengan apa yang dialami
anak kelimanya Mohd Zul Shahril Saidin, 15, beliau reda dengan ketentuan
Ilahi jika benar ketumbuhan itu adalah janin iaitu kembar kepada
anaknya itu.
“Janin yang dikeluarkan daripada perut anak saya ini lengkap organnya
seperti seorang bayi cuma hidung dan mulut tidak sempurna,” katanya
ketika ditemui di rumahnya di Kampung Charuk Kangar di sini semalam.
Isu remaja berkenaan yang dikatakan perutnya membesar kerana janin
kembarnya ‘menumpang hidup’ selama 15 tahun menjadi viral di laman
sosial yang mana kes berkenaan tidak pernah berlaku di negara ini.
Janin yang dikeluarkan daripada perut Zul Shahril yang sudah tidak
bersekolah itu dikatakan boleh dilihat dengan mata kasar iaitu mempunyai
rambut selain kaki dan tangan termasuk alat sulit yang sudah terbentuk.
Hasmah berkata janin berkenaan bagaimanapun diuruskan seperti jenazah
dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Amanjaya, Sungai Petani.
Katanya, sebelum itu anak kelima daripada lapan beradik itu menderita
sakit sejak empat bulan lalu dan dimasukkan ke Hospital Baling sebelum
dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Hamid (HSAH), Sungai Petani untuk
membuang ketumbuhan itu.
“Semasa umurnya setahun, doktor ada mengesyaki ada ketumbuhan dalam
perut yang berbentuk seperti kepala dan meminta membawa Shahril ke
hospital sekiranya mengadu sakit namun keadaannya nampak normal
sehinggalah empat bulan lalu dia kerap muntah dan mengadu sakit,”
katanya.
Beliau berkata benjolan di perut akibat ketumbuhan itu bagaimanapun
jelas kelihatan yang menimbulkan perasaan tanda tanya keluarga.
“Pemakanan dia macam biasa dan pernah bergurau makan lebih sikit kerana ada kandungan dalam perutnya,” katanya.
Hasmah bagaimanapun mendakwa doktor di hospital berkata janin berkenaan
kemungkinan masih hidup sekiranya anaknya itu dirujuk lebih awal ke
hospital.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan
Ismail bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen atas sebab
tertentu.
Usaha wartawan untuk bertemu remaja yang masih dirawat di HSAH juga tidak berhasil kerana enggan ditemui.– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan