Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Pemuda PAS hari ini membidas Datuk Seri Azmin Ali kerana
menegur kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersabit Pilihan Raya
Kecil (PRK) Sungai Besar, yang akan diadakan Jun ini.
Timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi mempersoalkan 'siapa' Timbalan
Presiden PKR itu untuk masuk campur urusan pentadbiran PAS sekaligus
mendakwa Hadi sebagai 'tidak tahu apa-apa'.
"Kenapa timbulkan isu Presiden PAS tidak tahu apa-apa berkenaan
pimpinan PAS pergi berbincang dan seumpamanya. Sedangkan isunya sudah
jelas dan keputusan sudah dibuat. PAS akan bertanding di Sungai Besar
dan Kuala Kangsar.
"Sepatutnya dia (Azmin) tak perlu masuk campur urusan dalaman PAS. Soalnya siapa dia yang nak berbincang (dengan PAS).
"Perbincangan (berhubung PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar) ini
terbuka. Akhir sekali perbincangan itu akan dibawa kepada mesyuarat.
Mesyuarat yang akan putuskan. Malah PAS dah putuskan akan bertanding di
Sungai Besar dan Kuala Kangsar," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
Azmin pada Jumaat berkata beliau simpati dengan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang kerana tidak tahu apa-apa dan tidak diberi maklumat yang cukup
oleh orang kanannya bersabit rundingannya dengan wakil parti itu
berkenaan pengagihan dua kerusi PRK yang akan berlangsung 18 Jun ini.
Mengulas lanjut, Khalil berkata, Azmin sengaja membuat tuduhan sebegitu
untuk mengalih perhatian masyarakat terhadap penegasan PAS sebelum ini
bahawa parti itu akan bertanding di dua kerusi Parlimen berkenaan.
"Saya rasa kenyataan Azmin itu kenyataan nak alih isu. Sekarang isu
Azmin nafi suruh Exco (PAS Selangor) letak jawatan dan kemudian isu
pendedahan (Setiausaha Agung PKR) Rafizi Ramli (isu salah laku
pentadbiran kerajaan negeri Selangor). Itu semua saya rasa tak ada
apa-apa, cuma mereka nak alih isu," ujarnya lagi.
PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kalah dengan majoriti tipis
kepada calon Umno Barisan Nasional (BN) di kerusi Sungai Besar.
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar terpaksa diadakan berikutan kematian
penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan
Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan