Halaman

Selasa, 24 Mei 2016

Najib: Rakyat tak perlukan Deklarasi Rakyat, tapi...

Deklarasi Rakyat
Issace (kanan) memberi penerangan kepada Najib mengenai Projek Akuapolitan Kuala Nerus.


KUALA NERUS - Rakyat tidak perlukan Deklarasi Rakyat sebaliknya apa yang diperlukan mereka adalah program dan projek yang mampu mengubah taraf kehidupan yang lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga tidak gusar untuk mencuba pelbagai idea yang difikirkan berupaya memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Sesungguhnya kita tidak perlu kepada Deklarasi rakyat...(apa) kita perlu adalah projek-projek atau program yang boleh ubah untung nasib rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan... jika sebelum ini mereka berada dalam kemiskinan.

“Apa guna kita kumpul sana sini (untuk dapatkan tandatangan Deklarasi Rakyat)... tetapi hari ini lebih 30,000 hadir (di Seberang Takir) menunjukkan bahawa rakyat bersama-sama kerajaan.

“Sanggup melakukan usaha yang murni... yang baik...yang kreatif seperti mengadakan Projek Akuapolitan Kuala Nerus (program pembangunan bersepadu dan mampan untuk bantu komuniti nelayan) yang tidak pernah difikir sebelum ini tetapi kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Akuapolitan Kuala Nerus di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Najib turut memuji usaha dan idea untuk melaksanakan Projek Akuapolitan Kuala Nerus yang mengambil konsep Felda, tetapi disesuaikan dengan rakyat di Seberang Takir yang kebanyakannya golongan nelayan iaitu mewujudkan ‘Felda laut’.

Projek di bawah ECERDC yang membabitkan kos sebanyak RM180 juta itu akan membabitkan peserta seramai 400 nelayan dan keluarga untuk mengikuti program bersepadu bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.