HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Mei 2016

Pengundi Sg Besar & K. Kangsar tidak yakin dengan pembangkang

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Rata-rata pengundi di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak yakin dengan keupayaan serta kesungguhan pembangkang berkhidmat untuk mereka.
 
Demikian hasil dapatan tinjauan yang dilakukan pemerhati politik, Profesor Madya Dr. Baharuddin Aziz di kedua-dua kerusi berkenaan minggu lalu.
 
Menurut beliau, faktor utama penolakan itu adalah disebabkan perpecahan dan percakaran sesama sendiri parti pembangkang.
 
"Saya lihat dan turun ke Sungai Besar, mereka tidak nampak pembangkang itu boleh jadi satu gagasan yang kuat untuk menang di kedua-dua PRK tersebut. Memandangkan hal ini berlaku saya nak sarankan secara peribadi Pakatan Harapan agar undur diri jangan bertanding," ujar Dr Baharuddin ketika dihubungi Antarapos. 
 
Dr Baharuddin juga berkata, kemelut yang membelit Pakatan Harapan dan PAS kini memberikan peluang yang begitu besar kepada Umno Barisan Nasional (BN), memenangi dua PRK kali ini.
 
"Perpecahan dan ketidaktentuan Pakatan Harapan, itu telah memberikan kelebihan kepada BN dan saya nampak PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pun sama jugak, rakyat sekarang ini melihat, mereka ada minda sendiri. Pembangkang tidak boleh bermuafakat, tidak boleh bersatu macam mana nak menang dan tadbir kawasan," kata Dr. Baharuddin.
 
Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting dua PRK ini, Pakatan Harapan yang dibarisi DAP, PKR dan Parti Amanah negara (PAN) sehingga kini masih belum punya kata sepakat  mengenai parti manakah yang akan meletakkan calon di kerusi berkenaan.
 
Ketiga-tiga parti itu juga perlu berdepan dengan iltizam PAS, yang nekad mahu meletakkan calon, sementelah dua kerusi itu adalah milik mereka secara tradisinya, ketika masih bertahaluf siyasi dengan PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat.
 
Pakatan Rakyat terkubur selepas PAS dan DAP bercanggah pendapat mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan.
 
Dr Baharuddin juga memberi saranan agar pembangkang serta PAS tidak perlu bertanding pada PRK kali ini dan memberikan kemenangan kepada calon Umno BN, sebagai menghormati pemergian bekas  penyandang dua kerusi berkenaan.
 
"Kita ada setahun setengah lagi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Saya kira pembangkang tidak perlu bertanding, bagi sahaja kemenangan kepada calon BN," katanya.
 
Ujar dr Baharuddin cadangannya itu bukan sesuatu yang pelik malah ia pernah diberlaku dalam senario politik negara ini.
 
Umpamanya, Umno BN tidak meletakkan calon pada PRK DUN Chempaka pada Februari 2015, selepas penyandangnya, bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, meninggal dunia ekoran mengidap kanser prostat.
 
 

Tiada ulasan: