Halaman

Selasa, 3 Mei 2016

PKR mahu baiki mekanisme pembahagian kerusi PRU14

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PKR akan memperbaiki mekanisme rundingan dengan DAP bersabit pembahagian kerusi sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 bagi mengelak berlaku krisis pertindihan kerusi antara mereka lagi.
 
Naib Presidennya Tian Chua menolak pandangan sesetengah pihak yang mahu kedua-dua parti itu memutuskan kerjasama gara-gara tidak sepakat dan menyebabkan pertindihan di enam buah kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak. 
 
Jelas Tian, rundingan tersebut akan diwakili Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
 
"Azmin dan Lim Guan Eng mewakili parti (membawa) pendirian mereka (dan) bukan peribadi, isu ini adalah isu diantara dua parti dan kita akan terus berkerjasama dan pastikan selepas pilihan raya negeri ini kita dapat mempertingkatkan lagi mekanisme rundingan supaya perkara ini tidak berulang.
 
"Pendirian yang dibawa oleh samada Setiausaha Agung DAP atau Timbalan Presiden PKR mereka merupakan pemimpin parti dan rundingan di antara mereka ini adalah rundingan yang mewakili parti masing-masing.
 
"Apa yang perlu dibuat selepas PRN ini ialah kita mencari untuk membaiki mekanisme rundingan supaya perkara ini tidak akan berulang dalam PRU yang akan datang," katanya ketika ditemui Antarapos selepas sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
 
Terdahulu PKR dan DAP masing-masing akan menyelesaikan masalah pertindihan kerusi antara mereka selepas berakhirnya PRN Sarawak 7 Mei ini.
 
Sebelum ini, Guan Eng menyifatkan pertindihan kerusi antara mereka adalah perkara yang serius dan perlu dibincang di dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH).
 
Malah Guan Eng mempersoalkan bagaimana PKR menganggap ia bukan satu perjanjian sedangkan 'nota' pembahagian kerusi itu ditandatangani oleh Azmin.
 
PKR juga menyatakan pendirian mereka untuk terus maju ke depan dan berkempen seperti biasa di PRN Sarawak selepas kedua-dua parti tidak mahu bertolak-ansur di kerusi Batu Kitang, Ngemah, Mulu, Murum, Simanggang dan Mambong.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.