Oleh Muhammad Asyraf Azlan
PETALING JAYA: PKR akan memperbaiki mekanisme rundingan dengan DAP
bersabit pembahagian kerusi sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14
bagi mengelak berlaku krisis pertindihan kerusi antara mereka lagi.
Naib Presidennya Tian Chua menolak pandangan sesetengah pihak yang mahu
kedua-dua parti itu memutuskan kerjasama gara-gara tidak sepakat dan
menyebabkan pertindihan di enam buah kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sarawak.
Jelas Tian, rundingan tersebut akan diwakili Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
"Azmin dan Lim Guan Eng mewakili parti (membawa) pendirian mereka (dan)
bukan peribadi, isu ini adalah isu diantara dua parti dan kita akan
terus berkerjasama dan pastikan selepas pilihan raya negeri ini kita
dapat mempertingkatkan lagi mekanisme rundingan supaya perkara ini tidak
berulang.
"Pendirian yang dibawa oleh samada Setiausaha Agung DAP atau Timbalan
Presiden PKR mereka merupakan pemimpin parti dan rundingan di antara
mereka ini adalah rundingan yang mewakili parti masing-masing.
"Apa yang perlu dibuat selepas PRN ini ialah kita mencari untuk
membaiki mekanisme rundingan supaya perkara ini tidak akan berulang
dalam PRU yang akan datang," katanya ketika ditemui Antarapos selepas
sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Terdahulu PKR dan DAP masing-masing akan menyelesaikan masalah
pertindihan kerusi antara mereka selepas berakhirnya PRN Sarawak 7 Mei
ini.
Sebelum ini, Guan Eng menyifatkan pertindihan kerusi antara mereka
adalah perkara yang serius dan perlu dibincang di dalam mesyuarat
Pakatan Harapan (PH).
Malah Guan Eng mempersoalkan bagaimana PKR menganggap ia bukan satu
perjanjian sedangkan 'nota' pembahagian kerusi itu ditandatangani oleh
Azmin.
PKR juga menyatakan pendirian mereka untuk terus maju ke depan dan
berkempen seperti biasa di PRN Sarawak selepas kedua-dua parti tidak
mahu bertolak-ansur di kerusi Batu Kitang, Ngemah, Mulu, Murum,
Simanggang dan Mambong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan