Oleh Shuhaniza Said
SUNGAI BESAR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
mendakwa Presiden PAS tidak mengetahui perkembangan bersabit rundingan
peletakan calon di kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.
Jelas Azmin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya dimaklumkan
mengenai rundingan yang telahpun dilakukan sebanyak dua kali oleh PKR
bersama PAS.
Hadi beberapa hari lalu memaklumkan Azmin tidak pernah mengadakan
perbincangan dengannya berkenaan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang
akan dijalankan serentak, 18 Jun depan.
"Kadang-kadang saya simpati dengan Ustaz Hadi ini, mungkin dia tidak tahu apa yang berlaku dalam parti.
"Saya bertemu dengan Timbalan Presiden PAS (Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man), saya bertemu dengan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali,
saya bertemu dengan setiausaha politik Ustaz Hadi, jadi saya percaya
pimpinan tertinggi ini akan melaporkan kepada Presiden," katanya kepada
pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Smart Selangor Food Stamp
2016, di sini pagi tadi.
Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas penafian PAS berhubung pertemuan parti itu dengannya.
Azmin sebelum itu ditanya pemberita mengenai siapakah pimpinan PAS
yang ditemui beliau untuk mengadakan rundingan berkenaan, selepas Hadi
menafikan adanya pertemuan dengan PKR bagi membincangkan soal calon
kerusi Sungai Besar.
Ketika ditanya sama ada beliau sedia bertemu Hadi, ini jawab Azmin:
"Saya jumpa semua orang, saya bersedia berjumpa dengan Hadi".
Menteri Besar Selangor itu juga enggan mengulas ketika ditanya sama
ada PKR ingin bertanding di kerusi itu, sebaliknya hanya menjawab proses
rundingan sedang dilakukan.
"Penamaan calon pada 5 Jun. Hari ini 20 Mei, lama lagi, ada 15 hari lagi (tempoh untuk berunding).
"Proses rundingan masih berjalan. Saya ambil tanggungjawab untuk
bersama dengan rakan-rakan yang lain untuk memperkukuh PH dan juga parti
pembangkang di luar PH termasuk PAS," ujar Azmin.
"Saya mengambil sikap perbincangan ini dan perbezaan pandangan ini
sebenarnya satu kekutan sebelum membuat keputusan, siri rundingan dengan
PAS dan PAN dan Ketua Menteri (Lim Guan Eng) sedang berjalan baik
sekarang. Kita harap dalam masa terdekat kita dapat satu persetujuan
bersama," ujar Azmin.
PKR mula berkempen
Sementara itu, Azmin juga memulakan 'kempen' PRK dengan mempengaruhi
pengundi untuk menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dakwanya
membebankan rakyat melalui pelaksanaan cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST).
"Minggu ini..minggu depan, ramai yang datang Sungai Besar.. Yang
melaksanakan GST ini pun turun nak minta bantuan orang Sungai Besar.
Jangan bantu mereka.
"Mereka akan turun dengan sogokan dan tawaran. Tapi saya dan pimpinan akan turun dengan rekod kejayaan," katanya.
PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk
Noriah Kasnon yang maut dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei
lalu.
Turut terkorban, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK dua kawasan itu diadakan
serentak pada 18 Jun ini, dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.