Halaman

Sabtu, 21 Mei 2016

WSJ diminta kemuka bukti sokong dakwaan - Salleh

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan tuduhan media antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ), terhadap Perdana Menteri sehingga kini hanya berlandaskan khabar angin dan bermotifkan kepentingan politik.
 
Tegas beliau, jika semua berita yang dipaparkan WSJ selama ini diperoleh daripada sumber sahih, akhbar berkenaan perlu mendedahkannya supaya rakyat di negara ini boleh membuat penilaian.
 
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada satu pun sumber dinamakan dalam beritanya untuk menyokong semua tuduhan yang dilemparkan WSJ.
 
"Kita sedar situasi ini akan berpanjangan kerana WSJ sebenarnya tidak mempunyai nama sumber berkenaan, sebaliknya semua berita sekadar dihiasi tajuk sensasi dan bermotifkan politik," katanya kenyataan yang dimuat naik dalam blog rasminya, sskeruak.blogspot.com, tengah malam tadi.
 
Semalam, WSJ mendakwa ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, menjadi orang tengah dalam pelaburan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), manakala Datuk Seri Najib Razak dikatakan menjadi pelaksana pelan.
 
Akhbar berkenaan turut mendakwa maklumat pasukan penyiasat dari dua negara mendapati Jho Low adalah antara penerima dana 1MDB yang mencecah hampir ratusan juta dolar Amerika Syarikat.
 
Salleh menyifatkan tindakan WSJ mengemukakan tuduhan palsu, kononnya berdasarkan sumber untuk mengaburi pandangan orang ramai sebagai pengecut dan muslihat bagi mengelak tidak disaman.
 
Katanya, WSJ berterusan melemparkan pelbagai tuduhan tanpa bukti kukuh walaupun dakwaan dibuat sumber akhbar berkenaan selama ini terbukti salah, termasuk laporan palsu mengenai Gabenor baharu Bank Negara Malaysia (BNM).
 
"Semua laporan WSJ mengenai Malaysia sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan `Kempen Anti-Najib' hanya berpandukan sumber enggan dikenali dan kata-kata pasukan penyiasat.
 
"Jika benar semua sumber ini wujud, kenapa WSJ tidak pernah beritahu kepada rakyat Malaysia siapa mereka? Kalau berterusan begini, bagaimana nak yakinkan semua orang apa yang dilaporkan selama ini boleh dipercayai?" katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.