Adam Kadir
SHAH ALAM - Bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir mengambil pepatah Melayu yang menyebut, 'kalau bapa kencing berdiri, anak kencing berlari' merujuk kepada senario rasuah yang melanda negara ini.
Menurutnya, perkara itu dapat dielakkan jika dari awal-awal lagi pihak atasan tidak mengambil rasuah.
"Kita harus ingat pepatah Melayu yang banyak kebijaksanaan daripada dulu lagi. 'Kalau bapa kencing berdiri, anak kencing berlari'. Jika dah nampak orang atas buat sekali, dia akan buat 10 kali.
"Jadi, inilah sebabnya, bapa itu jangan kencing berdiri awal-awal lagi supaya anak-anaknya tidak membuat lebih teruk daripada itu," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke-39 yang membawa tajuk ‘Siapa lebih berkuasa: Pentadbir atau ahli politik?’, di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
Sebelumnya, beliau menyentuh soal kuasa 'menasihat' yang diberi hanya kepada perdana menteri.
"Umpamanya sekarang ini, siapa yang boleh memberi kenaikan pangkat kepada hakim-hakim mahkamah tinggi? Semuanya atas nasihat perdana menteri.
"Sekiranya orang yang nak 'recommend' itu menghadapi perbicaraan di mahkamah kemudian pesuruhjaya kehakiman yang nak naik pangkat ini harus menghakimi dia.
"Dia (hakim) akan memikirkan pangkat dia juga. Dia mesti buat keputusan supaya orang yang nak beri dia naik pangkat tidak terasa hati," katanya.
Mengambil contoh kes terkini mengenai Cameron Highland, Adam berkata yang memegang kuasa sepatutnya bertindak namun itu tidak berlaku.
"Kalau manusia diberikan kuasa tapi tak mahu bertindak, ia tidak menjadi apa-apa. Contohnya laporan Cameron Highland botak sekali lagi. Berapa kali kita nak cari siapa yang salah? Kita tahu orang yang salah tetapi tidak boleh bertindak.
"Akhirnya orang yang diberi kuasa itu mesti bertindak. Itu sebabnya kita jangan beri kuasa dalam satu tangan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan