BAGAN DATOH: Malaysia bukan satu-satunya negara yang memberi bantuan
dalam bentuk kewangan kepada rakyat malah, beberapa negara lain turut
berbuat demikian cuma ia berbeza daripada segi nama.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, tindakan segelintir
pihak menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai 'dedak' adalah
satu penghinaan.
"Ada yang menidakkan dasar kita memberikan BR1M, hina orang yang terima
kata makan dedak. Dedak ini makanan binatang, kita tak boleh samakan
dengan apa yang rakyat terima," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Rumah Terbuka Malaysia
Aidilfitri 2016 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang
dekat Bagan Datoh, yang dihadiri kira-kira 50,000 orang, malam tadi.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri
Hamidah Khamis, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli juga menghadiri majlis itu.
Menurutnya sebanyak RM5.2 bilion diperuntukkan untuk BR1M tahun ini
dengan Perak menerima jumlah keseluruhan RM521 juta termasuk Bagan Datoh
yang mendapat RM14.8 juta.
"Bila rakyat mendapat BR1M, kita sebenarnya membantu memajukan ekonomi
tempatan dengan memastikan ekonomi bergerak kerana rakyat akan membeli
barangan," jelas beliau.
Mengulas mengenai penganjuran rumah terbuka itu ujar Najib, sambutan
perayaan peringkat kebangsaan seperti Rumah Terbuka Aidilfitri diadakan
di luar bandar bagi memudahkan rakyat saling berkongsi kemeriahan selain
mendekati para pemimpin.
"Perayaan peringkat nasional janganlah buat di Kuala Lumpur atau
Putrajaya sahaja tetapi patut agihkan di luar bandar kerana rakyat di
kawasan itu amat menghargai dan dahagakan sambutan.
"Selain itu, mereka juga dapat peluang berjumpa dengan pemimpin...
dengan cara ini kita dapat jalinkan huhungan dengan penduduk setempat,"
katanya.
Najib berkata penganjuran rumah terbuka peringkat kebangsaan yang
meriah adalah antara hasil dan nilai keamanan negara, yang sama sekali
tidak boleh diabaikan.
"Ini tidak boleh kita nafikan. Kalau nak buat (sambutan seperti ini),
di sesetengah negara tidak boleh kerana akan berlaku sesuatu yang amat
dahsyat, memudaratkan nyawa dan harta benda.
"Ingatlah nilai keamanan jangan kita pandang ringan, alpa sebab setakat
hari ini, kita belum bebas daripada ancaman keselamatan," katanya.
Perdana menteri merujuk kepada penahanan 14 individu di lima negeri
pada 14 Julai sehingga Rabu lepas kerana disyaki terlibat dengan
kumpulan militan IS.
"Saya merayu jangan sesekali kita benarkan angkara yang berlaku di
negara lain, jadi di negara kita sehinggakan perayaan seperti ini tidak
mungkin kita jayakan," katanya.
Najib berkata kestabilan politik yang dinikmati di negara ini merupakan
antara faktor penting untuk membolehkan sesuatu perayaan diraikan
dengan meriah selain memastikan ekonomi negara terus kukuh.
"Baru-baru ini, kita ada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan PRK
Sungai Besar. Kita menang dalam kedua-duanya yang menunjukkan kita
masih mempunyai kekuatan daripada sokongan rakyat.
"Berdasarkan kunjungan saya ke beberapa negara, secara peribadi saya
katakan ada negara yang nilai matawang mereka jatuh 100 peratus kerana
bergantung kepada minyak.
"Kita bersyukur ada minyak, industri sawit, industri perkhidmatan
seperti pelancongan, sebab itu kita mahu lebih ramai (pelabur) datang ke
Malaysia kerana ia memberi hasil kepada kita," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.