HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Ogos 2016

Amanah hanya punya pemimpin, tiada pengaruh - Nik Zawawi

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
BESUT: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak langsung mendatangkan ancaman kepada PAS meskipun terdapat beberapa 'nama besar' yang menjadi tulang belakang kepada parti berkenaan.
 
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh berkata, Amanah hanya sekadar mempunyai pemimpin, tetapi tidak punyai pengaruh besar khususnya di peringkat akar umbi.
 
Justeru ujarnya, PAS tidak melihat parti serpihan itu 'cukup kuat' untuk mengambil alih peranan sebagai parti Islam di negara ini menggantikan PAS.
 
"PAN (Amanah) ini kita tak pernah letak dalam kamus. Ini bukan sebab saya nak perkecilkan ia, memang kita tak letak dalam kamus dan setakat ini kita tak pernah bincang (mengenai Amanah) dalam mesyuarat pusat mahupun mesyuarat syura, (perbincangan) macam mana strategi nak berhadapan dengan PAN (Amanah) ini tak ada. Kita tak bincang," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana ancaman parti serpihan itu kepada PAS.
 
Saingan hebat antara PAS dengan Amanah dapat dilihat semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Jun lalu.
 
Pada PRK Kuala Kangsar, calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad memperoleh 5,684 undi, mengatasi calon Amanah, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang memperoleh 4,883 undi.
 
Bagaimanapun, di Sungai Besar, calon PAS Dr Abdul Rani Osman 'ditewaskan' apabila memperoleh 6,902 undi berbanding calon Amanah, Azhar Abdul Shukor yang mendapat 7,609 undi.
 
Kelebihan undi Amanah di Sungai Besar itu disumbangkan faktor pengundi Cina yang menyokong Pakatan Harapan. 
 
Amanah, yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang kalah sewaktu pemilihan parti itu tahun lalu bakal menjangkau usia setahun penubuhannya, dan telah bertapak di 
150 kawasan dengan 350 cawangan yang telah diluluskan.
 
Pemimpin Amanah sebelum ini mendakwa parti itu bakal menarik sokongan masyarakat dari pelbagai lapisan masyarakat dan mampu menjadi alternatif kepada PAS.
 
Mengulas mengenai perkara tersebut, Nik Zawawi berkata PAS tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan dan menarik sokongan masyarakat khususnya dari kaum bukan Melayu. 
 
Selain memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), PAS turut bekerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) milik pelbagai kaum dalam usaha menarik sokongan masyarakat terhadap PAS dan blok yang ditubuhkan bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) iaitu Gagasan Sejahtera (GAGASAN). 
 
"Kita juga menubuhkan NGO dan menghidupkan NGO sedia ada. Kita perkasakan lagi NGO yang dimiliki masyarakat bukan Melayu dan Islam iaitu milik kaum Cina, Sikh, India, Siam dan sebagainya.
 
"Alhamdulillah NGO ini duduk dalam GAGASAN yang kita bina. Insya-Allah mereka akan isytihar datu demi satu untuk bersama GAGASAN. Maknanya GAGASAN bukan saja kita berpakat dengan parti.
 
"NGO lebih terbuka dan mereka mahukan sesuatu yang baik, jadi ini sasaran kita. Sebab itu kita 'line' budaya politik matang dan sejahtera sesuai untuk NGO," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: