Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu hak penduduk di Sabah dan Sarawak serta
golongan minoriti di Malaysia 'dianaktirikan' oleh kerajaan pusat kerana
ia sentiasa dijamin menerusi Perlembagaan Persekutuan.
Justeru menurut Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal
Ismail Aziz, golongan berkenaan tidak perlu gusar bersabit soal hak,
malahan mereka mempunyai kelebihan dari segi kuasa autonomi.
"Kalau mereka perkatakan tentang hak, hak itu terjamin di dalam
Perlembagaan. Malah mereka ada kelebihan lagi sebab ada beberapa perkara
yang mereka boleh tentukan dengan sendiri, ada autonomi dan
sebagainya," kata beliau kepada Antarapos.
Bukan itu sahaja, ujar Tun Faisal pembangunan di Sabah dan Sarawak
sentiasa diberi perhatian yang sama rata sebagaimana yang diperolehi
penduduk di Semenanjung.
"Dalam soal pembangunan, menerusi bajet setiap tahun, bajet yang
diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak adalah bajet paling besar
berbanding negeri-negeri lain. Ini tidaklah menghairankan sebab
negerinya besar, banyak kawasan pendalaman dan memerlukan kos yang
tinggi," katanya lagi.
Gerakan supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia bukanlah satu isu
baru, dengan mendakwa beberapa hak dan tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Di Sabah cubaan membawa keluar negeri itu dari Malaysia rancak sekitar
1990-1991 rentetan penahan tujuh aktivis dan ahli politik di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri kerana terlibat dalam cubaan tersebut.
Manakala di Sarawak, idea 'Sarawak for Sarawakian' dibangkitkan sebagai
gesaan kepada penduduk di sana membuat pelbagai tuntutan daripada
kerajaan pusat, di mana idea yang mencabar pembentukan Malaysia sering
dijadikan modal.
Kononnya pembentukan Malaysia pada tahun 1963 tidak sah, sebagaimana
didakwa Pertubuhan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) dan United Borneo
Front (UBF).
Mengulas isu ini juga adalah Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN),
Datuk Ibrahim Saad yang menegaskan Perlembagaan Persekutuan memberi
jaminan yang kukuh tidak ada mana-mana pihak pun akan dianiaya haknya.
"Saya duduk di Sabah selama 34 tahun. Hampir 90 peratus jalan-jalan di
sana termasuk di pendalaman diberi penekanan khusus. Hendak mengatakan
pembangunan di Sabah dianaktirikan, kenyataan itu tidak betul," kata
Ibrahim.
Meskipun begitu, Ibrahim meminta semua pihak, terutama di Sabah dan
Sarawak memahami sedikit kekangan yang perlu dihadapi di negeri-negeri
ini berdasarkan tahap pembangunannya.
"Kita kena terima hakikat Sabah dan Sarawak negerinya luas, jalannya
berbukit-bukit, manakala di Sarawak pula banyak sungai. Untuk buat jalan
raya memerlukan kos yang banyak. Ini halangan yang perlu diceritakan
dan difahami. Kita tak boleh samakan pembangunan di Kuala Lumpur dengan
kota Kinabalu, sebab Kuala Lumpur merupakan ibu negara," ujarnya.
Ibrahim dalam pada itu menegaskan walau apa jua perbezaan yang timbul,
keamanan dan keharmonian yang sudah dicapai dengan nilai kemerdekaan
yang memasuki usia 59 tahun ini perlu dijaga dan dihargai sebaiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan