BATU PAHAT: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob tampil meminta tiga bekas pegawai tinggi kerajaan
'membersihkan nama mereka' berhubung dakwaan terlibat dalam konspirasi
untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr
Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan
bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed 'tidak boleh berdiam diri'.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu merujuk kepada laporan
bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran
bahawa Najib mungkin sudah tersingkir daripada jawatannya itu sekarang
jika tiga Tan Sri itu tidak dikhianati.
"Lebih baik kalau tiga Tan Sri ini tampil menafikan (laporan itu) kalau
betul tidak ada berlaku seperti yang disebut Dr Mahathir," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian
Parit Sulong, Jumaat.
Khamis lalu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Sri Zahrain Mohamed
Hashim turut membuat gesaan serupa kepada ketiga-tiga Tan Sri itu.
Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun membuat laporan
polis dengan mendakwa terdapat konspirasi untuk menggulingkan Perdana
Menteri oleh ketiga-tiga bekas pegawai tinggi kerajaan itu.
Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak
polis telah menutup siasatan terhadap laporan berkenaan kerana ia
dibuat berdasarkan andaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan