Halaman

Selasa, 2 Ogos 2016

Foto Najib, Zahid dalam surat ancaman IS kepada polis

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI


Sebuah balai polis di Negeri Sembilan menerima satu sampul surat bertanda "IS Ancaman" yang antara lain mengandungi gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menurut laporan berita.

China Press berkata gambar-gambar lain dalam surat dua muka yang dialamatkan kepada ketua polis daerah Nilai itu termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali dan Kaunselor Myanmar Aung San Suu Kyi.

Surat itu juga menyatakan terdapat "316 anggota dan empat pakar di Kuala Pilah", "114 anggota dan lapan pakar di Nilai" dan "97 anggota dan dua pakar" di Port Dickson.

Walaupun ia tidak menyebut sama ada ia merujuk kepada bilangan anggota IS di Negeri Sembilan, laporan itu bagaimanapun mendakwa angka itu "menunjukkan kekuatan" mereka kepada pihak polis.

Tiada sebarang penjelasan berkenaan "pakar" yang disebut dalam surat tersebut.

Sementara itu, China Press memetik Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay yang menyatakan perkara itu sedang disiasat.

Beliau berkata polis telah menerima ancaman yang sama kira-kira dua bulan lalu.

Sebelum ini, satu video IS memaparkan seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Negeri Sembilan, memberi amaran bahawa pengganas akan menyerang anggota polis.

"Kepada mereka yang berada di bukit-bukit yang aman, ketahuilah kalian tidak lagi akan aman sebentar lagi.

“Kami akan pulang untuk menyerang kalian ataupun sahabat-sahabat kami yang berada di sana, insya-Allah akan memenggal leher-leher kalian,” kata lelaki dalam video itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Mohd Rafi Udin, yang dipercayai masih berpangkalan di Syria.
Malaysia menyaksikan serangan pertama IS pada akhir bulan Jun apabila bom tangan dilemparkan di sebuah kelab malam di Puchong, yang menyebabkan lapan cedera.

Kejadian berkenaan berlaku kira-kira 2.15 pagi itu ketika pengunjung premis menyaksikan perlawanan kejohanan bola sepak Euro 2016.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.