GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedia berdepan
usul undi tidak percaya sebagaimana gesaan yang dilontarkan Pengerusi
Barisan Nasional (BN) Negeri, Teng Chang Yeow.
"Sekiranya ada usul undi tidak percaya, kami dalam Pakatan Harapan akan
menghadapinya, kami tidak akan lari daripada undi tidak percaya seperti
yang berlaku di Parlimen.
"Kami akan berdepan dengannya dan ia harus dibenarkan kerana ini satu proses demokrasi," katanya pada sidang media semalam.
Terdahulu, Chang Yeow menggesa kerajaan negeri memanggil sidang Dewan
Undangan Negeri tergempar untuk meluluskan undi percaya kepada Ketua
Menteri.
Menurut Chang Yeow sekiranya usul tersebut diluluskan, Guan Eng boleh
kekal sebagai Ketua Menteri sehingga perbicaraan kes rasuahnya selesai.
Gesaan dibuat susulan keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang yang
membatalkan hasrat untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut
selepas tidak mendapat persetujuan daripada PKR.
Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Guan Eng yang juga Setiausaha
Agung DAP bagaimanapun berkata ia perlu diusulkan Ketua Pembangkang DUN,
Datuk Jahara Hamid.
Ujar beliau, pembangkang perlu menggunakan saluran yang betul bagi menunjukkan ia satu usul yang serius.
"Sekiranya tidak percaya bolehlah usul undi tidak percaya tetapi biar
ia dibuat oleh Ketua Pembangkang supaya nampak ia serius, kami bersedia
berdepan, mereka (BN) kena putuskan siapa yg berikan arahan. Sekarang
Teng (Chang Yeow) cakap lain, Umno cakap lain, siapa yang buat kata
pemutus?" ujar pemimpin DAP itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.