Dr Muhaimin Sulam
ULASAN Daun ketum tidaklah
sepopular daun popi. Sasterawan Negara, Usman Awang pernah merakamkan
bunga popi dalam sajaknya yang bertajuk “Bunga Popi” yang dicipta pada
1955. Melalui puisi itu beliau melahirkan kekecewaan kerana peperangan
sesama manusia.
Dipilihnya bunga popi yang tumbuh meliar di sepanjang banjaran
Himalaya. Mengapa Usman Awang tidak pilih daun ketum dalam sajaknya?
Daun ketum tidak ramai yang tahu agaknya.
Daun ketum - seperti juga daun popi - adalah sejenis tumbuhan yang
mempunyai kandungan menghayalkan jika disalah guna. Namun pada kadar
penggunaan biasa, daun ketum berfungsi menghilangkan kesakitan,
kelenguhan dan menambah tenaga. Ia perubatan tradisional sejak zaman
berzaman.
Apa pun jika ada unsur-unsur penyalahgunaan, ia memang memudaratkan.
Samalah seperti motosikal, ia memberi manfaat kepada ramai orang
terutama yang berpendapatan rendah atau orang kampung.
Tetapi motosikal jika disalah guna - seperti untuk merempit hingga
membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain - apakah perlu
kita haramkan kenderaan itu?
Yang salah adalah perbuatan menyalah guna, bukan motosikal. Ia berkait dengan persoalan sikap.
Minggu lepas, dalam kemeriahan hari raya masih ada tiba-tiba "Risda
Official 1” melontarkan mercun idea yang bikin panas sebentar. Hampir
kita terlupa cerita penuh misteri “Malaysian Official 1”.
Beliau mencadangkan agar Risda diberi kebenaran mendapatkan manfaat daun ketum secara komersial.
Orang nombor satu Risda itu berkata, daun ketum ada nilai pasaran
antarabangsa yang tinggi dan boleh menambahkan pendapatan
pekebun-pekebun getah.
Sebagai respon daripada kenyataan itu, orang ‘nombor satu polis
Malaysia’ pun memberi pandangan. Beliau berkata memang tiada kesalahan
menanam pokok ketum kerana ia tiada termaktub dalam undang-undang.
Yang menjadi kesalahan katanya adalah aktiviti memetik, memproses dan mengedar daun ketum.
Aku pun berkali-kali membaca berita itu. Ini bukan sajak kabur. Boleh tanam tapi tidak boleh petik.
Membingungkan.
Selama ini, habis pokok ketum orang kampung dimusnahkan oleh pihak
penguat kuasa dan pihak yang ada kuasa. Hanya orang kampung yang tanam
pokok ketum di tanah atau di kebun mereka.
Jika diberikan kebenaran memproses, mengedar atau menjual daun ketum,
ramai orang kampung akan jadi saudagar daun ketum. Ramai yang akan
tinggalkan kerja menoreh pagi-pagi buta. Jual daun ketum lebih
menguntungkan.
Minuman zaman berzaman
Dulu ada seorang makcik yang jual air ketum dibawa ke mahkamah kerana
menjual air ketum sebungkus RM1 kepada budak-budak muda kampung.
Makcik itu hanya mengambil inisiatif melakukan dua tiga kerja sekali
gus sebagai jalan menambah pendapatan keluarga. Idea geliga Ahmad Maslan
memang memberi inspirasi ramai orang kampung macam makcik (yang aku
lupa namanya) itu.
Dia mengurus rumahtangga - yang tiada memberikan pendapatan satu sen
pun - pada waktu pagi, menjual air ketum sambil menjaja pisang goreng di
tepi jalan pada waktu petang.
Malam dia mengejar mimpi. Siang mencari erti. Benarlah Jamal Abdillah berpesan dengan lagunya itu.
"Mailah rasa sikit ayaq ni," kata Bang Haji Zali sambil menyogokkan satu termos China bersama cawan kosong kepada aku.
"Air apa ni?" Aku tanya.
"Ayaq ketum," jawab Bang Haji Zali sambil menuangkan air berwarna seperti kopi cair ke dalam cawan kosong yang ada di hadapan aku.
"Buat apa air ni?" tanyaku lurus bendul.
Bang Haji Zali tersenyum memandang rakan-rakannya yang ada di meja kedai kopi Kak Nah.
"Ayaq nilah bagi penguat badan yang letih membanting tulang
empat kerat," loghat Kedahnya cukup pekat walaupun dah berpuluh-puluh
tahun tinggal di Perak.
‘Rasanya, macam mana?" aku tanya lagi.
"Rasa dulu, baru tahu!" balasnya sambil yang lain-lain ketawa
beramai-ramai. Aku cuak dan bimbang. Aku menolak cawan itu ke tepi Pak
Cik Mail yang ada sebelah. Dia dengan senang hati menerima tanpa soal.
Itu cerita dulu-dulu tatkala aku mengisi masa kosong di kampung.
Memang bagi orang kampung, kedai kopi adalah medan berbual selepas
sepanjang siang bekerja keras di bendang atau di kebun.
Khasiat daun ketum sejak zaman berzaman diketahui orang Melayu di
kampung. Ia digunakan sebagai herba ubatan atau minuman kesihatan
mereka.
Di sekeliling rumah kampung, semua tumbuh-tumbuhan ada khasiatnya yang tersendiri.
Risda ditubuhkan untuk membantu orang kampung terutama para pekebun kecil yang bermastautin di tempat atau pinggir hutan.
Harga getah kini memang merundum habis. Terduduk orang kampung
dibuatnya. Pekebun kecil Melayu pun ada menyimpan impian ingin kaya
walaupun mereka tidaklah berangan-angan sehingga sekaya Jho Low atau
Riza Aziz.
Jangan cepat berangan
Wajarkah Risda diberi kelulusan atau permit daripada kerajaan untuk
mengkomersialkan ketum? Dan apakah dengan cara ini ekonomi orang kampung
boleh dibantu bagi melahirkan saudagar-saudagar daun ketum bertaraf
antarabangsa?
Persoalan lain, andaikanlah kerajaan membenarkan Risda menanam,
memetik dan menjual daun ketum, apakah orang kampung boleh menjadi
saudagar daun ketum dan menjadi kaya?
Aku menyokong penuh langkah membenarkan ketum dijadikan bahan eksport
untuk perubatan. Setidak-tidaknya kita menyumbangkan ke arah masyarakat
yang sihat dan menjana pendapatan orang kampung.
Daun ketum ibarat lubuk emas bagi orang kampung. Namun jika daun
ketum dibenarkan dijual nanti, orang kampung jangan cepat berangan
tinggi. Jangan.
Biasanya benda-benda yang menguntungkan begini, kebenarannya datang
dengan bersyarat, terhad. Kelulusan lazimnya hanya kepada
kelompok-kelompok tertentu saja melalui kewujudan kuota, permit atau pun
mungkin monopoli.
Inilah cara pihak kapitalis mengikat keuntungan di sekitar perut dan tembolok kelompok mereka saja.
Bagaimana mereka boleh mencipta seribu satu alasan untuk menghalang,
menyekat atau mengharamkan sesuatu, mereka juga mampu mencipta seribu
satu alasan untuk membenarkan perkara sama untuk golongan yang mereka
ingini.
Lihat saja, politik perniagaan syarikat-syarikat ditubuhkan kerajaan.
Lembaga Tabung Haji menaja orang kampung menunaikan haji percuma saban
tahun, tetapi pada masa sama berjuta-juta ringgit didakwa dikaut melalui
jalan lain.
Dua kali lima saja dengan Felda, Felcra, MARA, MAS, dan
syarikat-syarikat lain ‘Melayu’.
Berdegar-degar mendakwa bahawa
perjuangan mereka adalah demi orang Melayu atau orang kampung dan
golongan miskin.
Sewaktu mahu mendapatkan kelulusan, habis dijual nama Melayu sebagai
faktor pendorong kerajaan membuat keputusan. Bersoraklah sekampung orang
Melayu gembira.
Ini adalah sebahagian episod ayam menang sabung, kampung habis
tergadai. Orang kampung hanya mendapat nama, namun untung berbukit ada
pada poket orang lain.
Alahai nasib malang kamulah orang kampung!
DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah dan penulis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.