KUALA
LUMPUR: Portal MYKMU
mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termakan
kata-katanya sendiri terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana beliau pernah
menuduh Anwar Ibrahim sebagai ‘pengkhianat bangsa’ kerana memecah belahkan
Melayu dengan menubuhkan parti PKR.
Difahamkan, portal pro-Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian selepas Muhyiddin mengesahkan melalui akaun Facebooknya semalam bahawa beliau akan mendaftarkan satu lagi parti baru hasil dari keputusan mesyuarat yang diadakan di rumah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu.
“Ibarat
menepuk air di dulang, kini kata-katanya memakan diri, terpercik ke muka
sendiri. Jika dilihat dari barisan “anggota jemaah” yang bersama-samanya,
hampir pasti majoriti yang mengganggotai partinya nanti adalah dari kalangan
orang Melayu sendiri.
“Mungkin
ketika Anwar mendengar berita ini, dia akan tergelak sambil dalam hatinya
berkata-kata ‘aku ada geng’, ” kata portal itu.
Dalam
perkembangan lain, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin hari ini telah
memuat naik butiran terperinci mengenai parti baru yang ditubuhkan oleh Tun
Mahathir itu.
Menurutnya,
parti baru Muhyiddin ini akan menjadi sebuah parti Melayu/ bumiputera dan ia
bekerjasama dengan parti politik lain yang menentang Barisan Nasional (BN).
“Ia
akan memasukkan ke dalam perlembagaannya ikrar berkaitan reformasi sistem
politik dan pentadbiran negara, ketelusan, kebertanggungjawaban dan pencegahan
rasuah serta mengehadkan tempoh pemegangan jawatan parti.
“Ia
berhasrat menggabungkan perjuangan dan pengalaman generasi lama dengan aspirasi
dan kecerdasan minda generasi baru,” kata Kadir Jasin
Selain
itu beliau turut menyatakan jawatankuasa penaja bagi parti baru itu terdiri
daripada Tun Mahathir (Pengerusi/chairman), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin
(Presiden), Kamarul Azman Habibur Rahman (Setiausaha) dan Datuk Seri Mukhriz
Mahathir (Bendahari).
Ahli
jawatankuasa terdiri daripada Anina Saadudin, Akhramsyah Sanusi dan Syed Saddiq
Abdul Rahman.
Turut
dilaporkan, Bekas Naib Pengerusi Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri
Khairuddin Abu Hassan pula menyatakan beliau tidak berminat untuk menyertai
parti baru yang bakal dipimpin oleh Muhyiddin ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.