HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Ogos 2016

Muhyiddin dengan Anwar sama-sama pengkhianat bangsa – MYKMU

INTAN NUR IDAYU


KUALA LUMPUR: Portal MYKMU mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termakan kata-katanya sendiri terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana beliau pernah menuduh Anwar Ibrahim sebagai ‘pengkhianat bangsa’ kerana memecah belahkan Melayu dengan menubuhkan parti PKR. 

Difahamkan, portal pro-Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian selepas Muhyiddin mengesahkan melalui akaun Facebooknya semalam bahawa beliau akan mendaftarkan satu lagi parti baru hasil dari keputusan mesyuarat yang diadakan di rumah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu. 

“Ibarat menepuk air di dulang, kini kata-katanya memakan diri, terpercik ke muka sendiri. Jika dilihat dari barisan “anggota jemaah” yang bersama-samanya, hampir pasti majoriti yang mengganggotai partinya nanti adalah dari kalangan orang Melayu sendiri.

“Mungkin ketika Anwar mendengar berita ini, dia akan tergelak sambil dalam hatinya berkata-kata ‘aku ada geng’, ” kata portal itu. 

Dalam perkembangan lain, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin hari ini telah memuat naik butiran terperinci mengenai parti baru yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir itu. 

Menurutnya, parti baru Muhyiddin ini akan menjadi sebuah parti Melayu/ bumiputera dan ia bekerjasama dengan parti politik lain yang menentang Barisan Nasional (BN).

“Ia akan memasukkan ke dalam perlembagaannya ikrar berkaitan reformasi sistem politik dan pentadbiran negara, ketelusan, kebertanggungjawaban dan pencegahan rasuah serta mengehadkan tempoh pemegangan jawatan parti.

“Ia berhasrat menggabungkan perjuangan dan pengalaman generasi lama dengan aspirasi dan kecerdasan minda generasi baru,” kata Kadir Jasin

Selain itu beliau turut menyatakan jawatankuasa penaja bagi parti baru itu terdiri daripada Tun Mahathir (Pengerusi/chairman), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (Presiden), Kamarul Azman Habibur Rahman (Setiausaha) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bendahari). 

Ahli jawatankuasa terdiri daripada Anina Saadudin, Akhramsyah Sanusi dan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Turut dilaporkan, Bekas Naib Pengerusi Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pula menyatakan beliau tidak berminat untuk menyertai parti baru yang bakal dipimpin oleh Muhyiddin ini. 


Tiada ulasan: