Halaman

Khamis, 25 Ogos 2016

Sabah, Sarawak tidak pernah dianaktirikan dalam pembangunan Malaysia

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu hak penduduk di Sabah dan Sarawak serta golongan minoriti di Malaysia 'dianaktirikan' oleh kerajaan pusat kerana ia sentiasa dijamin menerusi Perlembagaan Persekutuan.
 
Justeru menurut Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz, golongan berkenaan tidak perlu gusar bersabit soal hak, malahan mereka mempunyai kelebihan dari segi kuasa autonomi. 
 
"Kalau mereka perkatakan tentang hak, hak itu terjamin di dalam Perlembagaan. Malah mereka ada kelebihan lagi sebab ada beberapa perkara yang mereka boleh tentukan dengan sendiri, ada autonomi dan sebagainya," kata beliau kepada Antarapos.
 
Bukan itu sahaja, ujar Tun Faisal pembangunan di Sabah dan Sarawak sentiasa diberi perhatian yang sama rata  sebagaimana yang diperolehi penduduk di Semenanjung.
 
"Dalam soal pembangunan, menerusi bajet setiap tahun, bajet yang diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak adalah bajet paling besar berbanding negeri-negeri lain. Ini tidaklah menghairankan sebab negerinya besar, banyak kawasan pendalaman dan memerlukan kos yang tinggi," katanya lagi.
 
Gerakan supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia bukanlah satu isu baru, dengan mendakwa beberapa hak dan tuntutan mereka tidak dipenuhi.
 
Di Sabah cubaan membawa keluar negeri itu dari Malaysia rancak sekitar 1990-1991 rentetan penahan tujuh aktivis dan ahli politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana terlibat dalam cubaan tersebut.
 
Manakala di Sarawak, idea 'Sarawak for Sarawakian' dibangkitkan sebagai gesaan kepada penduduk di sana membuat pelbagai tuntutan daripada kerajaan pusat, di mana idea yang mencabar pembentukan Malaysia sering dijadikan modal.
 
Kononnya pembentukan Malaysia pada tahun 1963 tidak sah, sebagaimana didakwa  Pertubuhan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) dan United Borneo Front (UBF).
 
Mengulas isu ini juga adalah Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN), Datuk Ibrahim Saad yang menegaskan Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan yang kukuh tidak ada mana-mana pihak pun akan dianiaya haknya.
 
"Saya duduk di Sabah selama 34 tahun. Hampir 90 peratus jalan-jalan di sana termasuk di pendalaman diberi penekanan khusus. Hendak mengatakan pembangunan di Sabah dianaktirikan, kenyataan itu tidak betul," kata Ibrahim.
 
Meskipun begitu, Ibrahim meminta semua pihak, terutama di Sabah dan Sarawak memahami sedikit kekangan yang perlu dihadapi di negeri-negeri ini berdasarkan tahap pembangunannya.
 
"Kita kena terima hakikat Sabah dan Sarawak negerinya luas, jalannya berbukit-bukit, manakala di Sarawak pula banyak sungai. Untuk buat jalan raya memerlukan kos yang banyak. Ini halangan yang perlu diceritakan dan difahami. Kita tak boleh samakan pembangunan di Kuala Lumpur dengan kota Kinabalu, sebab Kuala Lumpur merupakan ibu negara," ujarnya.
 
Ibrahim dalam pada itu menegaskan walau apa jua perbezaan yang timbul, keamanan dan keharmonian yang sudah dicapai dengan nilai kemerdekaan yang memasuki usia 59 tahun ini perlu dijaga dan dihargai sebaiknya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.