KUALA KETIL:
Anggota UMNO perlu bijak menilai motif perjuangan kepimpinan parti
baharu yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak terpengaruh
untuk menyertai mereka.
Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said
Keruak berkata pihaknya percaya kepimpinan parti baharu itu sudah tentu
berusaha mempengaruhi anggota UMNO di peringkat bahagian dan cawangan
bagi mendapatkan sokongan.
“Kita kena tengok apa motif mereka,
mereka dahulu bersama kita (UMNO) dan kita tengok apa yang mereka
ucapkan ketika dalam parti kita…apabila keluar parti, apa yang mereka
katakan sekarang.
“Tun Mahathir sendiri menjadi Perdana
Menteri kerana UMNO dan terhutang budi dengan UMNO, sekarang beliau
bercerita benda yang salah yang dia kata UMNO harus disingkir hanya
kerana beliau tidak bersetuju dengan Datuk Seri Najib Tun Razak,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat
perwakilan pergerakan Wanita UMNO Bahagian Baling di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Wanita bahagian Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan
Multimedia berkata anggota UMNO juga perlu menilai serta tidak menerima
bulat-bulat setiap maklumat yang diterima khususnya dalam media sosial,
yang bertujuan mempengaruhi pemikiran mereka.
Beliau berkata musuh parti akan
menjadikan pemimpin tertinggi negara sebagai sasaran dengan menyebarkan
pelbagai fitnah bagi menggugat keyakinan rakyat terhadap kepimpinan
negara.
“Fitnah di media sosial ini umpama surat
layang moden dan kita harus hati-hati supaya mereka tidak dapat
merosakkan perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Salleh meminta
orang ramai memberikan maklumat berhubung aktiviti kumpulan militan
Daesh dalam usaha mengekang kegiatan keganasan di negara ini.
Katanya kerajaan telah mengambil
tindakan menyekat laman sesawang dan blog yang mempunyai unsur
keganasan, namun tidak dapat memantau secara keseluruhan berikutan
perkembangan teknologi masa kini.
“Ancaman militan Daesh ini amat serius dan perlu ditangani secara bersama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan